Sukar nak berpisah, Kelantan FC ucap selamat datang kali ke-3 buat Ghaddar 7 tahun lalu


  • Podium
  • Selasa, 16 Jan 2024

Ghaddar merupakan salah seorang penyerang import terbaik sepanjang zaman pernah dimiliki skuad TRW. — Agensi

KEHADIRAN penyerang berbisa merupakan salah satu faktor utama Kelantan FC boleh meraih pelbagai kejayaan beberapa tahun lalu, termasuk ketika meraih gelaran 'treble' pada 2012.

Allahyarham Hashim Mustapha, Norshahrul Idlan Talaha dan Indra Putra Mahayuddin merupakan antara peledak yang pernah menyarung jersi skuad The Red Warriors (TRW) ketika zaman kegemilangan mereka.

Tidak cukup dengan itu, kelab Pantai Timur tersebut juga beberapa kali bernasib baik apabila memiliki penyerang import prolifik yang jarang mensia-siakan peluang di hadapan pintu gol.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Potong itu potong ini', bekas bintang TRW beri bayangan wujud krisis bersama Zamsaham

Import kelahiran Nigeria, Dickson Nwakaeme dan pemain dari Guinea, Keita Mandjou adalah sebahagian nama yang pastinya sukar dilupakan setelah memberikan khidmat terbaik mereka buat pasukan,

Bagaimanapun, sekiranya hendak ditanya mengenai seorang penyerang terbaik pernah mewakili skuad TRW, sebahagian besar daripada penyokong pasti meletakkan pemain dari Lubnan, Mohammed Ghaddar sebagai pilihan utama mereka.

2372309 (1)

Ghaddar merupakan watak utama ketika skuad TRW meraih gelaran treble pada 2012.

Dia yang kali pertama hadir menyertai Kelantan FA pada 2012 tidak perlu menunggu lama untuk menambat hati penyokong dengan gaya permainan cukup menakjubkan.

Selain jarang mensia-siakan peluang yang terhidang, pemain berkenaan juga mempunyai kepantasan sukar dibendung pihak lawan yang sekali gus membolehkannya menembusi gawang lawan dengan mudah.

Bagaimanapun, setelah membantu skuad kendalian Bojan Hodak meraih gelaran 'treble', Ghaddar kemudiannya meninggalkan pasukan itu untuk menyertai sebuah lagi kelab Liga Super, Felda United.

Kehebatannya bersama pasukan di Pahang itu sedikit terjejas kerana berdasarkan maklumat lalu, dia hanya menjaringkan dua gol daripada enam penampilan dalam kesemua pertandingan.

Sumbangan tidak meyakinkan itu menyaksikan Felda United memilih untuk tidak menyambung kontraknya pada penghujung musim 2013, sekali gus membuka ruang buat Kelantan FA kembali mendapatkan khidmatnya.

577637_334224813314494_1867427672_n

Ghaddar mempunyai momen cukup indah sepanjang beberapa tahun bersama skuad TRW.

Meskipun sudah memiliki penyerang import, Francis Forkey Doe, pihak pengurusan kelab masih memilih untuk mendapatkan khidmatnya melihat kepada permintaan penyokong ketika itu.

Langkah tersebut sememangnya membuahkan hasil apabila pada penghujung musim, penyerang terbabit mencatatkan enam gol secara keseluruhan untuk membawa skuad TRW ke tangga keenam Liga Super.

Jadi, pada penghujung musim, Kelantan FA dilihat sudah tidak mahu lagi meletakkan sandaran hebat buatnya pada 2014 yang menyaksikannya kembali ke negara Arab untuk menyambung kariernya.

Ghaddar kemudiannya memilih untuk mewakili kelab Jordan, Al Faisaly sebelum memilih berhijrah ke Iraq pada 2015 bersama Naft Al-Wasat yang menyaksikannya kembali meraih sentuhan cukup berbahaya.

Peningkatannya yang drastik menyaksikan Kelantan FA sekali lagi berminat untuk menyambar khidmatnya apabila pada 16 Januari 2017, dia diumumkan sebagai penyerang baharu pasukan.

GHADDAR

Ghaddar berpeluang mempamerkan bakatnya bersama skuad Harimau Selatan.Facebook/JOHOR Southern Tigers

Walaupun sudah berusia, ia tidak menghalang pemain yang kini berusia 40 tahun itu untuk meledak 18 gol daripada 11 penampilan Liga Super memasuki pertengahan musim.

Bagaimanapun, jodoh mereka tidak berkekalan apabila jaguh bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) membuat tawaran mencecah kira-kira RM1 juta untuk mendapatkan khidmatnya.

Meskipun hanya beraksi untuk tempoh yang pendek, ia tidak menghalang Ghaddar untuk diangkat sebagai salah seorang peledak import terbaik sepanjang zaman buat skuad TRW.

Sehingga kini, sukar untuk pasukan itu mendapatkan seorang penyerang dengan kebolehan sebegitu, lebih-lebih lagi apabila mereka berdepan isu pengurusan yang melarat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram