PENYOKONG Sri Pahang pasti belum melupakan kelibat pemain bertubuh sasa, Dickson Nwakaeme yang pernah mewarnai Liga Super bersama Tok Gajah dan Kelantan FC pada saingan musim 2013 sehingga 2021.
Nwakaeme yang diberi jolokan sebagai Orang Besi itu pernah menggembirakan penyokong Tok Gajah apabila hadir semula sebagai pemain import Pahang pada musim 2019 selepas tiga musim berkelana di luar negara.
Pemain yang pernah beraksi bersama Sri Pahang dari musim 2014 hingga 2015 itu menandatangani perjanjian kontrak setahun untuk bermain bersama Tok Gajah dalam saingan Liga Super Malaysia ketika itu.
Kehadirannya jelas membawa kegembiraan kepada penyokong yang merindui ketajamannya di hadapan gawang apabila menjaringkan 10 gol dalam 28 aksi domestik dan memainkan peranan penting dalam Piala AFC dengan enam gol dalam lima perlawanan.
Pengurus Pahang ketika itu, Datuk Sufian Awang berbesar hati untuk mengesahkan tandatangan itu dan berkata, kehadiran Nwakaeme pasti akan membawa kembali penonton ke Stadium Darul Makmur.
BACA LAGI: '7 tahun membazir masa', Pahang hampir pasti dapat bek kental JDT, Selangor
Nwakaeme antara penyerang berbisa yang pernah ada dalam sejarah bola sepak Pahang. — Agensi
“Orang Besi (Ironman) pulang ke kampungnya. Dia sentiasa mahu menyertai kami, dan kini dia cergas sepenuhnya, kami gembira untuk mengumumkan perpindahannya.Dia tidak bermain selama semusim kerana kecederaan tetapi memastikan dirinya cergas dengan bermain dalam Liga Nigeria.
"Dickson adalah nama kegemaran di sini. Jurulatih Dollah (Salleh) mahukan penyerang keturunannya. Dia ada pengaruh dan dia sayang Pahang. Selain itu, dia boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik, dan itu satu kelebihan,” katanya pada laporan media tempatan.
Sebelum hadir semula ke Pahang, Nwakaeme bermain untuk Angers SCO dalam Ligue 1 dari 2016 hingga 2017 dan berada di Lagos, Nigeria pada 2018.
Ketika saingan 2019 itu juga, Pahang menandatangani pemain pertahanan Perancis, Herold Goulon dari kelab Cyprus, Ermis Aradippou untuk bergandingan dengan Muslim Ahmad sebagai bek tengah.
Goulon tiba dengan reputasi tersendiri apabila pernah bermain untuk kelab Inggeris Middlesbrough dan Blackburn Rovers semasa zaman mudanya dan terus bermain di negara seperti Poland, Romania dan Cyprus. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram