KETIKA ini, dua benua sedang meriah dengan acara bola sepak antarabangsa yang menarik perhatian. Benua Asia sibuk dengan Piala Asia sementara Afrika sedang hangat menjayakan African Cup of Nations (AFCON).
Seperti pertandingan-pertandingan lain, ramai pemain dari pelbagai liga seluruh dunia menyertai dua kejohanan tersebut bagi menyahut panggil negara.
Namun begitu, sedang ramai pemain daripada Liga Super beraksi di Piala Asia 2023, hanya seorang wakil dari liga kita yang bermain di AFCON. Pemain tersebut adalah bintang Kuching City FC iaitu Petrus Shitembi.
Shitembi yang beraksi untuk Namibia di AFCON menjadi sebahagian daripada detik bersejarah negara tersebut apabila berjaya meraih kemenangan menentang gergasi Afrika iaitu Tunisia.
Dalam aksi pertama kumpulan E, Shitembi beraksi selama 62 minit untuk negaranya menentang Tunisia sebelum pemain tersebut digantikan dengan Ngero Katua.
BACA LAGI: Umpama deja-vu, 'kehilangan' Morales antara 3 momen Piala Asia hantui Harimau Malaya
Walaupun tidak beraksi keseluruhan perlawanan, tetapi Shitembi berjaya memperagakan persembahan baik dengan pemain tengah itu memperoleh rating 6.8 menurut laman SofaScore.
Persembahan Shitembi tersebut turut menyumbang kepada kemenangan Namibia yang akhirnya berjaya mendapatkan gol pada minit akhir menerusi Deon Kavendji selepas menanduk masuk bola hantaran lintang Bethuel Muzeu.
Kemenangan tersebut cukup signifikan kerana Namibia tidak pernah memenangi sebarang perlawanan di AFCON dalam sejarah penyertaan mereka.
Lebih manis, ia berjaya dilakukan dengan menumpaskan Tunisia yang berada di ranking ke-28 dunia dan antara tiga pasukan terbaik di benua Afrika.
Dengan kemenangan itu, Namibia menduduki tangga kedua kumpulan E di belakang Mali menerusi perbezaan jaringan. Aksi kedua Namibia adalah dengan bertemu Afrika Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram