Bek kental Lembah Klang semakin hampir bergandingan dengan bekas pemain Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 06 Jan 2024

Okwuosa (tengah) dibawa masuk ke skuad The Cops dengan perpindahan percuma dari kelab Al Qadsia, Kuwait. — Facebook/FRZPhoto

JUARA Piala Cabaran 2023, PDRM FC berdepan dengan masalah pertahanan musim depan selepas bek tengah kental mereka, James Okwuosa dikhabarkan akan meninggalkan pasukan selepas semusim bersama.

Pemain berusia 32 tahun dari Nigeria itu merupakan tonggak penting untuk skuad The Cops musim ini dengan dia diberikan kepercayaan untuk mengetuai jentera pertahanan dalam 24 perlawanan Liga Super.

Kehadiran pemain berketinggian 1.88 meter itu jelas menstabilkan pasukan selepas berjaya mengawal kemas benteng pertahanan PDRM yang dilihat sukar dibolosi pada saingan musim ini.

Menerusi ciapan dari pemerhati sukan, Fadhirul Shuhaimi pada platform X, Okwuosa difahamkan sudah mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Lembah Klang berkenaan dan beralih arah ke Kuching City FC.

Khabar angin bekas pemain Al-Shabab itu bakal ke skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak juga pernah dihebahkan pada Disember lalu namun nampaknya ia bakal menjadi kenyataan dalam masa terdekat ini.

BACA LAGI: Dikait ke kelab Borneo tanah air, James Okwousa serah masa depan kepada ejen

WhatsApp Image 2024-01-06 at 09.39.36 (1)

Rodney menyertai The Cats pada Disember lalu. — Facebook/KuchingCity

Kehadiran Okwuosa ke kem Kuching City menunjukkan keseriusan skuad The Cats untuk memperbetulkan kembali bahagian pertahanan mereka selepas pada musim 2023 menyaksikan kelab tersebut menjadi mangsa pesta gol pasukan lain.

Melihat kembali statistik 26 perlawanan Liga Super pada musim lepas, pasukan berpangkalan di Borneo tanah air itu dibolosi sebanyak 51 gol dengan berada di kedudukan ke-13 liga.

Oleh itu, tidak terkejutlah jika Aidil Sharin mengambil percaturan untuk menggandingkan Okwuosa dan Rodney Calvin di bahagian pertahanan tengah pasukan pada musim 2023/24.

Bekas bek tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu diumumkan kembali ke negeri kelahirannya, Sarawak pada Disember lalu untuk mewakili Kuching City FC pada Liga Super musim depan.

Sepanjang bersama Kedah selama tiga musim, Rodney sudah merekodkan 51 penampilan dan satu gol dan akhirnya menamatkan kontrak secara persetujuan bersama Sang Kenari pada akhir Oktober lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram