Bakal sarung jersi mahal no.47, Awang Hitam Promise pasti menyusahkan Luqman Hakim di YSCC Yokohama


  • Podium
  • Khamis, 04 Jan 2024

Luqman dikaitkan akan berhijrah pasukan divisyen ke-3 Liga Jepun secara pinjaman daripada KV Kortrijk.

PENYERANG muda kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin akan terus berkelana di luar negara apabila difahamkan akan menyertai sebuah pasukan daripada Liga Jepun.

Namun sehingga kini masih belum ada pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan K.V. Kortrijk berkenaan Luqman yang dikaitkan dengan sebuah kelab di liga divisyen ke-3 Jepun itu.

Sebelum ini, graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) tersebut pernah memberi bayangan untuk menyertai kelab Liga M bagi menncari semula minit permainan yang banyak dengan khabar angin Selangor FC menjadi destinasinya.

Namun memetik laporan media, Luqman akan beraksi sebagai pinjaman selama setahun bermula pada Januari ini sehingga Disember 2024.

Difahamkan, penyerang kelahiran Kelantan itu juga mendapat tawaran untuk beraksi bersama kelab divisyen ke-2 Jepun namun memilih untuk beraksi bersama pasukan divisyen bawahan bagi meraih minit permainan yang tinggi.

BACA LAGI: Rekod jaringan mencanak 2023, Arif Aiman, Darren Lok kini sebaris Haaland, Mbappe dan CR7

Menurut beberapa maklumat dan petunjuk dalam media sosial, Luqman dilihat seperti akan menyertai YSCC Yokohama yang sudah hampir 10 tahun beraksi di liga divisyen ke-3 Jepun sejak 2014.

Kelab yang berpangkalan di Yokohama itu kini dikendalikan oleh Kazuki Kuranuki dengan menggunakan Stadium NHK Spring Mitsuzawa sebagai gelanggang keramat mereka.

Luqman dijangka menyarung jersi nombor 47 apabila namanya sudah berada dalam senarai pasukan YSCC Yokohama di laman sesawang Wikipedia untuk menghadapi tahun baharu ini.

Tetapi demi meraih minit permainan, penyerang Harimau Muda itu dijangka menghadapi persaingan sengit bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama YSCC Yokohama.

Ini kerana kelab yang berpangkalan di Yokohama itu turut mempunyai beberapa bakat tempatan dan penyerang import daripada Nigeria, Promise Ugochukwu.

YSCC

Antara pemain-pemain yang bakal menjadi rakan sepasukan Luqman di YSCC Yokohama.

Selain itu, menerusi perkongsian daripada Ahmad Ridzuan AG dalam laman X turut menyatakan harga sehelai jersi kelab baharu Luqman itu boleh mencecah lebih RM600 sehelai di pasaran.

Kebanyakan penyokong tanah air bimbang jika Luqman Hakim membuat percaturan yang salah dengan beraksi di J league 3 untuk meneruskan kelangsungan kerjayanya.

Malah, senario menimpa penyerang Perak, Hadi Fayyadh yang tidak berpeluang meraih banyak minit permainan bersama kelab divisyen 3, Azul Claro diharap menjadi pedoman kepada Luqman Hakim.

Hadi berada selama empat musim dalam Liga Jepun divisyen ke-3 bersama Fagiano Okayama dan dipinjamkan ke Azul Claro pada Februari 2022 bagi mengumpul minit permainan.

Namun begitu, sepanjang tempoh pinjaman tersebut, Hadi Fayyadh hanya beraksi menerusi satu perlawanan J3 selama enam minit dalam tiga penampilan pada musim 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram