Kualiti padang JDT, TFC jadi perbandingan tonggak Warga Kota sesuaikan diri di Liga M


  • Podium
  • Selasa, 23 Jan 2024

Avanzini antara tonggak yang membantu KL City meraih naib johan Piala FA 2023. — Facebook/KLCity

KANCAH bola sepak tanah air ketika ini dihangatkan dengan perlawanan Piala Asia 2023 di Qatar.

Meskipun skuad kebangsaan gagal ke peringkat kalah mati, namun perjuangan Harimau Malaya masih belum berakhir berikutan perlu menghadapi aksi terakhir berdepan Korea Selatan pada 25 Januari nanti dalam Kumpulan E.

Bagaimanapun, menjelang pembukaan kempen Liga Malaysia (Liga M) April nanti, pastinya penyokong tanah air akan menumpukan sepenuhnya kepada liga domestik tersebut.

Bercakap mengenai Liga M, tonggak tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Sebastian Avanzini sempat berkongsikan perbezaan Liga Malaysia dan Liga Eropah.

BACA LAGI: Sah 'ikat tepi' Syazwan Andik, gandingan bersama Azam Azih diharap beri sinar buat Tok Gajah

Avanzini

Avanzini menyertai KL City pada awal musim ini. — Facebook/KLCity

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas fans Korea curi tumpuan, giliran DJ terkenal pula sarung jersi JDT

Avanzini turut mendedahkan bahawa terdapat beberapa perbezaan yang ketara antara liga domestik dan Liga Eropah itu.

"Pastinya kedua-dua liga tersebut mempunyai banyak perbezaan.

"Pertama sekali, perbezaan ketara ialah pastinya sukar untuk setiap pemain yang pernah beraksi di Liga Eropah untuk menyesuaikan diri dengan padang di Malaysia.

"Melainkan, anda perlu bermain di padang seperti kelab Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC kerana mempunyai kualiti padang yang sama," katanya kepada Majoriti.

Tambah pemain tengah berketinggian 1.85 meter itu, Liga Eropah menerapkan taktikal yang cukup berbeza jika dibandingkan dengan Malaysia.

"Liga Eropah menampilkan taktikal yang cukup berbeza dan lebih teratur kerana para pemain sudah terlatih dari umur yang sangat muda di akademi.

"Bagi saya, ia adalah perbezaan ketara yang saya nampak di Malaysia," ujarnya lagi.

Meskipun begitu, pemain kelahiran Itali itu turut memuji dengan mengatakan bahawa Malaysia mempunyai ramai pemain yang berbakat.

"Tapi, pendapat saya, Malaysia tetap mempunyai ramai pemain yang berbakat," katanya lagi.

Avanzini yang menyertai KL City FC awal musim 2023 itu antara tonggak yang membantu Warga Kota menghuni tangga ketujuh liga dengan mengutip 38 mata selepas 26 perlawanan berlangsung.

Malah, pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia dan merupakan naib johan Piala FA selepas tewas 0-2 di tangan JDT.

Untuk rekod, Avanzini membantu The City Boys mencetak dua jaringan dan empat bantuan gol serta tampil 30 penampilan sepanjang musim 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram