Sah 'ikat tepi' Syazwan Andik, gandingan bersama Azam Azih diharap beri sinar buat Tok Gajah


  • Podium
  • Selasa, 23 Jan 2024

Syazwan Andik memainkan peranan penting buat skuad Tok Gajah sepanjang musim 2023. — Facebook/Sri Pahang FC

TAMPIL dengan prestasi cemerlang bersama skuad Tok Gajah, Sri Pahang FC sah mengikat pemain pertahanan, Syazwan Andik bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) untuk dua musim lagi.

Bek kanan berpengalaman berkenaan sebelum ini menyertai skuad Tok Gajah secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) dalam usaha pasukan Pantai Timur itu menambah baik barisan pertahanan mereka.

Kehadirannya boleh dianggap cukup penting buat pasukan bimbingan Fandi Ahmad apabila dia mencatatkan 26 penampilan Liga M dengan mencetak dua gol dan tiga bantuan jaringan direkodkannya.

Sumbangannya sedikit sebanyak membantu pasukan Pantai Timur itu menamatkan kempen di posisi lebih baik dari musim 2023 dengan menghuni kedudukan di tangga kelima dan meraih 45 mata sepanjang 26 perlawanan.

BACA LAGI: Sri Pahang dipuji bijak kekalkan bek JDT, buka mata KPG pilih pemain

WhatsApp Image 2024-01-23 at 15.25.00

Syazwan merupakan antara tonggak utama yang membantu skuad Tok Gajah ke kedudukan kelima Liga Super musim 2023. — Facebook/Sri Pahang FC

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas fans Korea curi tumpuan, giliran DJ terkenal pula sarung jersi JDT

Pengumuman itu dibuat menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sri Pahang FC pada Selasa.

"Pemain sayap, Syazwan Andik telah menandatangani kontrak selama dua musim untuk terus bersama Sri Pahang FC.

"Syazwan pada musim lalu berstatus pemain pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT).

"Pemain lincah ini tekad mahu lebih menyinar dan kelab gembira untuk mengekalkan khidmatnya di Darul Makmur," tulisnya di Facebook.

Meninjau ruangan komen, rata-rata penyokong tidak sabar untuk menyaksikan gandingan antara pemain berusia 28 tahun itu dan tonggak tengah skuad Tok Gajah, Nor Azam Azih.

"Terbaik, bergandingan dengan Azam Azih nanti," kata Muhammad Safuan.

"Mantap performance dia ni, pair dengan Azam Azih, confirm padu," kata Cucu Tok Gajah.

"Tengok performance dia musim lepas memamg bagus, pilihan tepat kekalkan dia ni," kata Halim Sayuti.

Pastinya gandingan itu akan memberikan kelebihan kepada skuad Tok Gajah kerana kedua pemain itu merupakan nadi utama Sri Pahang musim lepas.

Sebelum ini, Sri Pahang turut mengesahkan Azrif Nasrulhaq sebagai pemain tetap dengan menandatangani kontrak dua musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram