[VIDEO] Tan Cheng Hoe seperti bapa, Liridon Krasniqi masih belum buat keputusan soal masa depan


  • Podium
  • Khamis, 14 Dis 2023

Liridon cemerlang semasa di bawah kendalian Cheng Hoe semasa mewakili Kedah pada 2015 hingga 2017.

PEMAIN naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi pastinya menjadi salah satu pemain yang bakal diburu banyak kelab Liga Malaysia (Liga M) selepas dia tidak lagi bersama Johor Darul Takzim (JDT) untuk saingan Liga Super musim depan.

Liridon atau lebih dikenali sebagai 'Mat Don' mengikat kontrak selama satu bulan bersama Terengganu FC (TFC) selepas dia tidak lagi bersama JDT pada 30 November lalu.

Bersama Terengganu musim ini, Liridon kembali menemui rentak permainannya meskipun banyak bermula sebagai pemain simpanan.

Pemain berusia 31 tahun itu berkata, dia masih belum memikirkan soal masa depannya dan mahu fokus bersama Terengganu sehingga saingan Liga M musim ini tamat.

"Saya tidak tahu lagi masa depan dengan Terengganu, kita akan lihat bagaimana.

"Saya mahu selesaikan musim ini dahulu dan selepas itu baru saya akan buat keputusan apa yang terbaik untuk karier saya," katanya kepada Majoriti.

ABK

Liridon (kiri) pernah dinobatkan sebagai pemain import terbaik dan pemain paling popular pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017.

Bekas juara Piala FA 2017 itu menganggap ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe sebagai bapa dalam karier bola sepaknya dan belum memikirkan untuk bergabung semula bersama pengendali kelahiran Kedah itu pada musim depan.

"Saya tidak tahu, saya tidak memikirkan perkara itu (perpindahan ke Selangor).

"Sejujurnya Tan Cheng Hoe seperti bapa kepada saya, dia memainkan peranan penting dalam karier saya.

"Tetapi buat masa sekarang saya masih belum fikirkan perkara itu, saya pun tidak tahu apa akan jadi di masa akan datang," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai final Piala Malaysia pada Jumaat lalu, Liridon jelas kecewa dengan keputusan perlawanan meskipun Terengganu sudah melakukan yang terbaik.

"Kami (TFC) sangat kecewa dengan kekalahan itu kerana kami sudah melakukan yang terbaik, tetapi keputusan yang dilakukan oleh pengadil mempengaruhi perlawanan.

"Saya tidak tahu sama ada kekasaran itu penalti ataupun tidak dan selepas itu JDT menjaringkan gol.

"Berkenaan pergaduhan mulut dengan Azam Azmi selepas tamat perlawanan Piala Malaysia semuanya okay," luahnya.

Musim ini, Liridon beraksi sebanyak 24 perlawanan dan menjaringkan dua gol dan melakukan dua bantuan jaringan (assist) dalam semua kejohanan domestik dan antarabangsa.

Liridon juga berjaya mencatatkan minit permainan yang tinggi bersama Sang Penyu berbanding bersama pasukan yang diwakilinya sebelum ini.

Sejak dua musim lalu, Liridon dipinjamkan ke luar negara oleh JDT untuk beraksi bersama Newcastle Jets (Australia), Odisha FC (India) dan Khon Kaen United (Thailand). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram