Belum masa dapatkan Nooa Laine, tapi saya akan terus bunuh bola sepak negara — TMJ


  • Podium
  • Selasa, 23 Jan 2024

TMJ pernah berkata sedemikian sebelum ini apabila tindakannya sering dikritik peminat bola sepak tanah air. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JUARA Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi mencetuskan kegembiraan buat penyokongnya apabila mengumumkan kehadiran rekrut ketiga bagi jendela perpindahan kali ini.

Bek kiri kelahiran Brazil, Murilo Henrique menjadi pilihan skuad Harimau Selatan yang pastinya tertarik dengan kariernya di beberapa negara, termasuk Finland dan Sepanyol.

Kehadiran pemain berkenaan juga pastinya akan memberikan peluang buat pertahanan kiri utama JDT, Corbin Ong yang semakin berusia dan perlu diberikan waktu berehat lebih panjang.

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah jaringkan gol berdepan AC Milan, Francisco Geraldes kini milik JDT

421072324_949647233197920_2576124107678344857_n

Murilo merupakan bek kiri baharu untuk skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Namun, kehangatan perpindahan tersebut tidak terhenti di situ apabila seorang peminat bola sepak tanah air mendapati Murilo sebelum ini beraksi di samping pemain kebangsaan, Nooa Laine.

Kedua-dua mereka yang bermain untuk SJK Seinajoki kelihatan sering beraksi di samping satu sama lain seperti mana dapat disaksikan dalam kepingan foto dikongsikan di laman Instagram masing-masing.

Pendedahan berkenaan menyaksikan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) tampil memberikan komen dengan mengatakan skuad Harimau Selatan juga akan mendapatkan khidmat pemain warisan itu.

"Noaa Laine selepas ini, kesemuanya sudah diselesaikan," katanya ringkas.

BACA LAGI: Nooa Laine kekal di Eropah, 3 kelab Liga M kempunan

Kata-kata itu sememangnya membuatkan ramai cukup terkejut dengan perancangan JDT musim depan kerana orang ramai berasakan kemasukan Nooa akan meningkatkan mutu permainan pasukan.

Antara yang dengan sengaja menghangatkan lagi situasi itu ialah pengguna Instagram, Malaysia Football League yang teruja sekiranya pasukan Selatan tanah air itu dapat menyambar khidmat pemain berusia 22 tahun terbabit.

Saga perpindahan tersebut tidak terhenti di situ apabila TMJ sekali lagi hadir memberikan penjelasan mengenai minat pasukannya untuk mendapatkan pemain tengah berkenaan.

336565098_744491530666617_2265314735244306960_n-1050x700

Nooa Laine berpotensi menyertai JDT pada masa akan datang. Facebook/FAM

Bagaimanapun, respons itu dibuat dengan nada sinis memandangkan orang ramai sering melabel keputusan JDT hanya akan menjatuhkan mutu bola sepak negara.

"Bukan musim ini, pada masa akan datang. Sebagai pembunuh bola sepak tanah air, dari dulu saya dah banyak kali katakan yang saya akan terus membunuh bola sepak tanah air.

"Dah 11 tahun saya merosakkan bola sepak tanah air dalam setiap aspek. Saya menyeru kepada penyokong bola sepak tanah air bersatu padu dan beramai-ramai hentikan agenda saya ini," katanya.

Sejak menjadi pemilik skuad Harimau Selatan pada 2012, beberapa tindakan TMJ sering menimbulkan rasa kurang senang kerana orang ramai berasakan langkah yang diambil hanya menguntungkan JDT.

Bagaimanapun, perkara berkenaan seakan-akan diendahkannya kerana kelab berkenaan terus meraih pelbagai kejayaan, baik di dalam mahupun luar padang.

Selain Murilo, JDT juga sudah mengumumkan kehadiran dua rekrut baharu, iaitu Jalil Elias dan Chico Geraldes dengan misi mereka mahu beraksi dengan lebih baik di pentas Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram