SEHINGGA kini, proses pencarian Perak FC untuk membawa masuk seorang penjaga gol baharu masih belum berakhir meskipun beberapa calon sudah berada dalam senarai pendek pasukan.
Kegagalan membawa masuk seorang pemain baharu di posisi berkenaan dikhuatiri akan terus menyebabkan benteng terakhir skuad The Bos Gaurus (TBG) rapuh seperti mana dapat disaksikan musim lalu.
Selain itu, dua penjaga gol yang dimiliki ketika ini, Farhan Majid dan Bryan See Tian Keat juga tidak boleh diberikan kepercayaan penuh selepas persembahan masing-masing belum cukup meyakinkan.
Jadi, pasukan Utara tanah air itu pasti mahu mendapatkan seorang penjaga gawang dengan segera bagi membolehkannya menyertai sesi latihan seawal mungkin.
Usaha mendapatkan penjaga gol simpanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Haziq Nadzli yang dikaitkan dari awal jendela perpindahan seperti tidak akan kesampaian dengan tiada perkembangan lanjut mengenainya.
BACA LAGI: [VIDEO] Prestasi tidak menentu buat Perak FC sukar tarik penaja — Azim Zabidi
Ramadhan merupakan penjaga gol dalam kelas tersendiri. — Facebook/PDRM FC
BACA LAGI: Haziq, Adam belum pasti 'kemas beg' ke Perak FC
Bagaimanapun, kegagalan untuk mendapatkan pemain berusia 26 tahun itu pastinya tidak akan terlalu dirasai apabila Perak FC baru-baru ini dikaitkan dengan penjaga gol PDRM FC, Ramadhan Hamid.
Menurut satu hantaran di laman Facebook Malayantigerfans, anak jati Kelantan berkenaan dikaitkan dengan skuad TBG yang sememangnya perlu mendapatkan seseorang di posisi itu secepat mungkin.
Walaupun tidak mempunyai reputasi cukup hebat, Ramadhan sering diberikan kepercayaan oleh barisan kejurulatihan untuk beraksi dalam perlawanan getir, seperti berdepan Johor Darul Ta'zim dan Selangor FC.
Perkara itu sememangnya cukup penting sekiranya Perak FC mahu kembali berada di landasan untuk menjadi salah sebuah pasukan digeruni dalam saingan Liga Super.
Ramadhan juga mempunyai pengalaman hebat beraksi di pentas lebih tinggi apabila dia diberikan peluang memulakan kedua-dua perlawanan akhir MFL Challenge Cup menentang Kuching City FC.
Sekiranya skuad TBG mampu memberi tawaran buatnya, mereka pasti akan berpuas hati dengan persembahannya yang merupakan peningkatan berbanding Bryan See, Farhan mahupun bekas penjaga gol, T Shaheeswaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram