[VIDEO] Saya pernah berada dalam situasi itu — Mat Yo


  • Podium
  • Rabu, 24 Jan 2024

Mat Yo (kanan) merupakan salah seorang penyerang terbaik yang pernah dihasilkan negara. — Agensi

SATU lagi cabaran besar perlu dihadapi skuad kebangsaan dalam aksi Piala Asia selepas ini apabila mereka bakal berdepan Korea Selatan sebagai aksi penutup Kumpulan E.

Meskipun sudah tiada harapan untuk mereka melangkah ke peringkat seterusnya, persembahan terbaik masih perlu dipamerkan dalam usaha menjaga air muka di peringkat tertinggi.

Pasukan kebangsaan yang kini menduduki tangga tercorot Kumpulan E pastinya mahu meraih sekurang-kurangnya satu gol untuk kempen kali ini dengan ia juga pastinya diharapkan penyokong.

Bagaimanapun, berdasarkan dua aksi awal, tugasan hebat perlu dipikul anak-anak buah Kim Pan-gon ketika berdepan pasukan di tangga ke-23 dunia itu.

Selain itu, sokongan orang ramai terhadap Harimau Malaya juga seakan-akan kian pudar selepas dikecewakan dengan persembahan ala kadar ketika bertemu Jordan dan Bahrain.

BACA LAGI: Pindah kelab jiran, Mat Yo pernah kejutkan banyak pihak

Namun, tampil menyeru sorakan penyokong negara ialah bekas penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha menerusi satu hantaran di laman Instagram peribadinya.

"Juara merupakan seorang yang mampu bangkit walaupun dia tidak mampu. Jadi, bekerjalah seperti seorang juara. Ayuh Malaysiaku, sehati sejiwa berikan sokongan anda.

"Insya-ALLAH kemenangan milik pasukan Malaysia. Aamiin, demi Malaysia, tanah tumpahnya darahku," tulisnya dalam satu hantaran berserta klip perlawanan antara skuad kebangsaan dengan Korea Selatan pada 2010.

Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo merupakan seorang penyerang paling disegani dalam skuad kebangsaan apabila ketajaman dan kelincahannya di atas padang sukar dibendung.

BACA LAGI: Enam bulan gaji tertunggak, Mat Yo desak Melaka United lunaskan segala hutang

1725831

Mat Yo berada dalam skuad kebangsaan yang menjuarai Piala AFF 2010. Agensi

Ia terbukti apabila bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC itu memainkan peranan penting dalam kejayaan pertama negara dalam saingan Piala AFF pada 2010.

"Saya pernah ada di situasi itu. Mereka hanya perlukan semangat, bukan kecaman. Saya faham. Zaman saya, saya tak makan media sosial.

"Sekarang, rata-rata ada media sosial, jadi jagalah jari-jemari anda semua. Taip yang baik-baik, buat yang baik-baik. Insya-ALLAH yang baik-baik sahaja berlaku," tulisnya.

Harimau Malaya bakal berdepan Korea Selatan dalam aksi penutup tirai Kumpulan E pada Khamis di Stadium al-Janoub, Qatar dengan ia pastinya disaksikan ribuan penyokong secara langsung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram