Nooa Laine kekal di Eropah, 3 kelab Liga M kempunan


  • Podium
  • Ahad, 30 Okt 2022

Pengalaman Nooa di Eropah merupakan salah satu aset penting pemain muda itu. — Instagram/nooa.laine

KETIKA ini, lambakan pemain naturalisasi dan warisan dalam skuad Harimau Malaya seakan-akan mencipta keretakan antara penyokong mengenai kesan serta impak mereka.

Pemain naturalisasi berusia, seperti Guillherme de Paula dan Liridon Krasniqi difahamkan tidak memberi sumbangan besar buat pasukan sehingga menjejaskan persembahan secara keseluruhan.

Namun, tidak boleh dinafikan bahawa program tersebut sedikit sebanyak memberi kelebihan buat skuad kebangsaan dengan beberapa pemain berdarah kacukan, seperti Corbin Ong dan Darren Lok berjaya mengesahkan tempat mereka dalam pasukan.

Sumbangan dan gaya permainan mereka setiap kali diberi peluang sering dipuji peminat tegar bola sepak tempatan, lebih-lebih lagi apabila skuad kebangsaan berjaya melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2024.

Jadi, tidak timbul sebarang persoalan sekiranya ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mula merisik beberapa wajah kacukan baharu untuk menambah baik kualiti skuad.

279050743_686412039098702_8120389146063493927_n

Nooa Laine pernah berlatih bersama pasukan Bawah 23 Harimau Malaya. Facebook/FAMalaysiaOfficial

Salah satu nama yang kebelakangan ini dikaitkan dengan kemasukan ke dalam pasukan ialah pemain muda, Nooa Laine selepas potensinya terserlah di kelab kecil Finland, SJK Seinajoki.

Meskipun reputasinya itu bukanlah dalam keadaan terbaik, pengalaman dan struktur fizikalnya dilihat mampu membawa perbezaan ke dalam skuad sekiranya mereka berhasrat untuk mencapai satu tahap berbeza.

Nooa sebelum ini pernah tampil sebanyak empat kali dalam skuad remaja antarabangsa Finland selain berjaya menyumbang satu gol untuk membantu pasukan tersebut.

Bagaimanapun, dengan kekurangan sumber dan kemampuan untuk meneliti perkembangan pemain Nooa, ia pasti menjejaskan peluangnya untuk diserap ke dalam skuad Harimau Malaya.

Jadi, tidak hairanlah apabila sebelum ini terdapat khabar angin di media sosial yang mengaitkan pemain berusia 19 tahun itu dengan beberapa pasukan Liga Malaysia.

Walaupun tidak boleh dinafikan bahawa terdapat kesukaran untuk membawanya pulang ke tanah air, isu tersebut tidak menyekat minat untuk mendapatkan khidmatnya itu.

Tetapi, baru-baru ini, satu ciapan menerusi akaun Twitter @harimau_abroad melaporkan bahawa pemain tengah itu sudah melanjutkan kontraknya bersama kelab Finland itu.

Ia seakan-akan memberi kehampaan buat beberapa pasukan Liga Malaysia yang sebelum ini pernah bercita-cita untuk mengikatnya ketika jendela perpindahan kelak.

Meskipun tiada pengesahan daripada mana-mana pihak, tiga pasukan tersebut dilihat sebagai destinasi berpotensi buat Nooa sebelum dia mengambil keputusan untuk kekal di benua Eropah.

1. Johor Darul Takzim

Musim ini, kemaraan Johor Darul Takzim (JDT) di pentas Liga Juara-juara AFC (ACL) terhenti di peringkat 16 pasukan terbaik selepas tersingkir di tangan wakil Jepun, Urawa Red Diamonds.

Meskipun berjaya mencatat sejarah tersendiri dalam kejohanan tersebut, skuad Harimau Selatan pastinya lebih dahaga untuk menambah baik prestasi mereka musim depan.

Dengan itu, penambahan pemain berkualiti dalam skuad pastinya menjadi agenda utama dalam memastikan mereka mampu bersaing dengan kelab-kelab gergasi sekitar Asia.

gol30_1651320311

JDT berjaya mara ke peringkat 16 pasukan ACL musim ini. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Nooa Laine dilihat sebagai salah satu pemain yang mampu mengisi kriteria itu apabila dia ketika ini mampu diturunkan sebagai pemain tengah menyerang.

Ketika ini, posisi tersebut diisi seorang lagi pemain import, Leandro Velazquez yang juga tidak boleh dinafikan kehebatan dan kemampuannya dalam Liga Super.

Lima gol dan empat bantuan yang dicipta meletakkan status pemain kelahiran Argentina tersebut sebagai salah satu import terbaik dalam Liga Malaysia musim lalu.

Tetapi, sekiranya juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu berhasrat untuk bersaing dengan lebih baik di pentas Asia, kehadiran Nooa dilihat sebagai salah satu penambahan yang cemerlang.

Bagaimanapun, dengan status kontrak pemain tersebut seakan-akan menemui jalan penyelesaian, ia pasti mendatangkan perasaan kecewa kepada pihak pengurusan.

Status Nooa yang bukanlah pemain import pastinya tidak mengganggu kuota seramai sembilan orang yang ditetapkan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berikutan perubahan struktur liga itu.

2. Selangor FC

Ketika ini, Selangor FC sedang mengalami revolusi di atas padang selepas kehadiran bekas ketua jurulatih Kedah FA, Tan Cheng Hoe berjaya menyuntik nafas baharu buat pasukan.

Selain itu, pemilik pasukan, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafudin juga dilihat sedang bersungguh-sungguh membina sebuah pasukan untuk memberi saingan kepada JDT dan kelab lain.

Oleh itu, mereka pastinya memiliki struktur kewangan yang kukuh dan ia dilihat sebagai satu kelebihan apabila jendela perpindahan dibuka kelak.

Pemain tengah seperti Nooa Laine pastinya digemari Cheng Hoe apabila pasukan itu seakan-akan tidak memiliki seorang pemain tengah yang boleh diberi tanggungjawab secara berterusan.

Kapten pasukan, Brendan Gan dilihat sudah menuju ke penamat karier dengan usianya mula mencecah 34 tahun sementara kualiti Mukhairi Ajmal masih belum benar-benar dibuktikan.

Brendan-Gan-8

Usia Brendan Gan semakin menyekat sumbangannya bersama skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Di samping mampu mencari rakan dengan hantaran kemas, Nooa juga dikatakan mampu menjadi satu ancaman kepada pasukan lawan dengan gerak-geri mengelirukan.

Bagaimanapun, keputusan SJK Seinajoki untuk meneruskan kontrak pemain muda itu dilihat merencatkan harapan penyokong untuk menyaksikan dia beraksi bersama skuad Gergasi Merah.

Bagi Cheng Hoe pula, kemampuannya untuk mencari bakat-bakat baharu tidak boleh dinafikan apabila dia sering berjaya mendapatkan pemain sesuai atau mengambil keputusan 'membina' mereka daripada peringkat akar umbi.

Tetapi, dengan kemampuan dan reputasi Nooa, ia pasti sedikit mengecewakan dengan ketua jurulatih itu tidak berjaya membawa masuk satu aset bernilai buat negara ke dalam pasukannya.

3. Kedah Darul Aman FC

Kedudukan mengecewakan dan kegagalan untuk menemui rentak bersemangat di atas padang seakan-akan sudah menjadi perkara biasa buat penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim ini.

Walaupun pernah dijulang sebagai salah satu pasukan terbaik Liga Malaysia, kegoyahan pihak pengurusan menyaksikan skuad Sang Kenari menamatkan saingan liga di tangga kelapan.

Selain itu, hasrat mereka untuk menjulang trofi Piala Malaysia sepertinya sudah terkubur apabila mereka tumpas di tangan pasukan pelawat, Negeri Sembilan FC pada perlawanan pembukaan.

Bagaimanapun, satu sinar mula dilihat penyokong apabila penaung, Tan Sri Mohd Daud Bakar diumumkan sebagai pemegang saham majoriti pasukan Ogos lalu.

Hal itu serba sedikit menyuntik semangat baharu buat pasukan dan penyokong dengan usahawan tanah air itu dikatakan mempunyai semangat untuk membimbing KDA FC ke arah lebih baik.

Mahmoud-Al-Mardi-1

Al-Mardi mula dirisik beberapa pasukan dalam dan luar negara. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Perubahan struktur pengurusan itu juga pastinya memberi kelebihan kepada kemampuan pasukan untuk menarik nama-nama besar ke dalam pasukan ketika tempoh perpindahan pemain kelak.

Ketika ini, skuad Sang Kenari dilihat perlu mengalami satu rombakan besar dengan beberapa tonggak pasukan difahamkan tidak bakal disambung kontraknya musim depan.

Salah satu pemain tersebut ialah perancang pasukan, Mahmoud Al-Mardi dengan pemain antarabangsa Jordan itu mula dikaitkan dengan pasukan dalam dan luar negara.

Sekiranya berita mengenai perpindahan pemain tersebut menjadi realiti, ia pasti akan meninggalkan satu kesan besar buat pasukan dalam merencanakan gerak-geri serangan mereka.

Jadi, dengan Nooa dilihat sering diturunkan di posisi tengah menyerang, dia dilihat sebagai seorang pengganti tepat sekiranya KDA FC bercita-cita tinggi musim depan.

Tetapi, minat mereka untuk membawa masuk pemain kacukan itu seakan-akan sudah terpadam apabila kontraknya sudah disambung, sekali gus menepis segala khabar angin perpindahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram