Tak jadi ke Perak, pemain tersisih JDT disebut tukar haluan ke Pahang


  • Podium
  • Ahad, 21 Jan 2024

Adam (barisan belakang, dua dari kiri) tidak lagi meraih minit permainan bersama skuad senior Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JUARA Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini mengumumkan bahawa mereka mahu mengurangkan kos operasi pasukan musim depan.

Jadi, dalam mencapai objektif itu, mereka difahamkan bakal melepaskan pemain yang dirasakan kurang memberi impak buat pasukan senior mahupun belia.

Antara yang berada dalam senarai tersebut ialah pemain pertahanan, Adam Nor Azlin yang tidak lagi meraih minit permainan beberapa tahun kebelakangan ini.

Berdasarkan rekod, bek tengah itu hanya merekodkan 15 penampilan bersama skuad Piala MFL JDT yang muncul sebagai naib juara dalam edisi tersebut.

Meskipun catatan tersebut boleh dikatakan cukup tinggi, kehadirannya dikhuatiri akan menghalang pelung pemain muda yang merupakan lepasan daripada akademi kelab.

BACA LAGI: [VIDEO] Nazmi Faiz paling disiplin, Aidil Zafuan kongsi karakter lain Fernando Forestieri di JDT

2357006

Adam dilaporkan bakal dilepaskan JDT selepas menyertai mereka pada 2018. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Jadi, Adam kini pastinya mahu mencari pilihan terbaik selepas berada bersama skuad Harimau Selatan sejak 2018 dengan pelbagai kejayaan sempat dirasainya.

Melihat kepada khabar angin di media sosial, pemain berusia 28 tahun itu dilaporkan berada dalam radar Perak FC yang pastinya sedang mencari bek tengah baharu.

Dalam saingan Liga Super 2023, skuad The Bos Gaurus (TBG) berada di kedudukan ketiga dalam jumlah gol dibolosi apabila mereka melepaskan 55 gol dalam 26 perlawanan.

Kehadiran Adam yang memiliki pengalaman cukup baik sebagai seorang bek tengah diharapkan mampu mengubah situasi tersebut kerana pasukan Utara tanah air itu bercita-cita besar selepas ini.

BACA LAGI: Dilihat bersama ejen di Pahang, TBG mungkin terlepas khidmat bintang pudar JDT

420638520_874629171336109_2609805664074187415_n

Adam kini dikaitkan dengan perpindahan ke skuad Tok Gajah. Facebook/Malayantigerfans

Bagaimanapun, dalam satu perkembangan baharu, Adam dilaporkan tidak berminat untuk berada di bawah kendalian Yusri Che Lah musim depan apabila dia turut 'dipinang' Sri Pahang FC.

Menurut satu hantaran di laman Facebook Malayantigerfans, skuad Tok Gajah dikatakan bersedia untuk membawa masuk Adam untuk mengukuhkan lagi benteng pertahanan pasukan.

"Pemain JDT iaitu Adam Nor Azlin yang dulu pernah dalam radar pasukan Perak FC dan Penang FC difahamkan kini semakin hampir menyertai Sri Pahang FC untuk musim baharu," katanya.

Khabar angin tersebut boleh dikatakan cukup relevan kerana pasukan kendalian Fandi Ahmad itu memiliki beberapa pemain dari skuad Harimau Selatan yang hadir dengan status pinjaman mahupun kekal.

Fadhli Shas, Azrif Nasrulhaq, Syazwan Andik dan Izham Tarmizi merupakan tonggak pasukan yang hadir dari JDT dengan masing-masing memberi sumbangan penting dalam membantu skuad Tok Gajah berada di tangga kelima Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram