Pindah kelab jiran, Mat Yo pernah kejutkan banyak pihak


  • Podium
  • Sabtu, 20 Jan 2024

Norshahrul (kuning) merupakan salah seorang penyerang terbaik pernah menyarung jersi Harimau Malaya. — Facebook/FAM

BEKAS pemain Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha pernah menjadi seorang penyerang cukup digeruni dengan kualitinya di hadapan pintu gol jarang mengecewakan.

Dia yang pernah beraksi bersama beberapa pasukan Liga Super meraih pelbagai kejayaan sukar dilupakan sepanjang kariernya, termasuk gelaran 'treble' bersama Kelantan FA pada 2012 selain Piala AFC 2015 bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bersama skuad kebangsaan pula, kehebatannya tidak kurang menyerlah apabila dia pernah membantu negara menjuarai Piala AFF buat kali pertama dalam sejarah pada 2010.

Dari segi persembahan peribadinya pula, Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo dikenali dengan kelincahan serta kebolehannya dalam menggelecek bola melepasi pemain lawan.

Kelebihan tersebut menyaksikannya mudah mencipta gandingan cukup baik bersama rakan penyerang, seperti Safee Sali dan Indra Putra Mahayuddin yang juga pernah mewarnai arena bola sepak tanah air.

BACA LAGI: Enam bulan gaji tertunggak, Mat Yo desak Melaka United lunaskan segala hutang

Untitled design - 1

Norshahrul masih beraksi secara aktif dalam Liga M3 bersama Harini FT. Facebook/Harini FT

Jadi, tidak hairanlah apabila kualiti dimiliki penyerang tersebut amat didambakan dengan kelab Thailand, BG Pathum United juga pernah membuat kejutan dengan mendapatkan khidmatnya pada 2020.

Mereka yang ketika itu baru sahaja melayakkan diri ke divisyen teratas bola sepak mengambil langkah berani dengan menyambar penyerang yang baru sahaja dilepaskan Pahang FA.

Selain itu, usianya yang sudah mencecah 34 tahun boleh dikatakan sudah tidak lagi relevan dalam pasukan yang dibanjiri peledak berkualiti, termasuk Diogo Luis Santo serta Teerasil Dangda.

Jadi, dalam memberi motivasi untuknya terus bersinar di Liga Thai, peminat bola sepak tanah air tidak putus memberikannya sokongan dengan bekas jurulatihnya, mendiang B Sathianathan turut mengutuskan kata-kata semangat buatnya.

BACA LAGI: ‘Dia bukan pemain utama Liga Super’, Khairul Fahmi pernah 'back-up' Matyo terlepas penalti final Piala Malaysia

122868737_10159168083344974_5120821244988811920_o

Mat Yo merekodkan enam penampilan secara keseluruhan buat skuad The Rabbits. Facebook/BG Pathum United

Dorongan itu boleh dikatakan membuahkan hasil tersendiri apabila Norshahrul berjaya menambat hati pihak kejurulatihan yang memberikannya enam penampilan secara keseluruhan.

Meskipun catatan itu boleh dianggap rendah, ia masih menghadiahkan pengalaman cukup berharga buatnya selain memberinya peluang menempa nama sebagai pemain kebangsaan pertama menjuarai Liga Thai pada musim berikutnya.

Jodohnya bersama pasukan terbabit bagaimanapun tidak berpanjangan apabila pada jendela perpindahan Liga Thai 2020/21, BG Pathum United memilih untuk tidak menyambung kontraknya.

Norshahrul kemudiannya memilih untuk menyertai Sarawak United dengan dia kini masih bermain secara aktif bersama Harini FT dalam Liga M3 walaupun usianya sudah mencecah 37 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram