Dilihat bersama ejen di Pahang, TBG mungkin terlepas khidmat bintang pudar JDT


  • Podium
  • Isnin, 15 Jan 2024

Selepas tidak lagi bersama Harimau Selatan, Adam kini menjadi rebutan beberapa kelab Liga Super. — Facebook/JDT

SELEPAS disahkan tidak berada dalam perancangan Johor Darul Takzim (JDT) pada musim depan, saham Adam Nor Azlin semakin naik mencanak apabila bek tengah berkenaan dikaitkan dengan beberapa pasukan.

Antara pasukan yang dikhabarkan akan menjadi majikan pertahanan tengah itu adalah Perak FC dengan pada awalnya Adam dikatakan akan menjadi pemain pinjaman dari Harimau Selatan bersama penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli.

Namun, The Bos Gaurus (TBG) menerima tentangan baharu dalam misi ingin mendapatkan khidmat pemain berusia 28 tahun berkenaan selepas Adam dilihat berada di Pahang bersama seorang ejen bola sepak.

“Kelibat Adam Nor Azlin bersama seorang ejen bola sepak di Kuantan, Pahang. Apakah maksudnya. Semoga terus sukses Adam,” petik hantaran dari portal, Flash Sukan.

Kelibatnya bersama ejen bola sepak berkenaan menimbulkan spekulasi bahawa bekas pemain Selangor itu berkemungkinan mendapat tawaran ke Sri Pahang bagi memperkuatkan bahagian pertahanan kelab Pantai Timur itu.

BACA LAGI: Lepas JDT, Sri Pahang FC pula berminat nak dapatkan khidmat Brendan Gan

brendan

Selain Adam, nama Brendan Gan juga dikaitkan dengan Sri Pahang FC untuk musim akan datang. — Facebook/Selangor FC

Kebarangkalian untuk menyaksikan Adam menyarung jersi Sri Pahang pada musim ini boleh berlaku susulan skuad Tok Gajah baru sahaja melepaskan 10 orang pemainnya dan empat daripadanya ialah bek tengah.

Oleh itu, kehadiran pemain kelahiran Klang, Selangor itu mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Michael Glassock, Sherzod Fayziev, Nicholas Swirad dan pemain pertahanan tengah berpengalaman, Muslim Ahmad.

Sekiranya pasukan kendalian Fandi Ahmad berhasil memujuk Adam, skuad kendalian Yusri Che Lah nampak perlu mencari bek kanan baharu untuk memperkuatkan jentera pertahanan mereka.

Skuad TBG memerlukan seorang bek yang mampu membantu menyelesaikan masalah pertahanan dialami Perak FC pada pusingan pertama Liga Super musim ini, menyaksikan kelab berkenaan bolos 52 gol dalam 25 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram