[VIDEO] Liga Arab Saudi lebih baik berbanding Ligue 1 — Cristiano Ronaldo


  • Podium
  • Sabtu, 20 Jan 2024

Kehadiran Cristiano Ronaldo dalam Liga Arab Saudi menaikkan lagi reputasi dan nilai bola sepak di negara itu. — Agensi

KETIKA ini, reputasi bola sepak di Arab Saudi kian tercalar selepas beberapa bintang dilaporkan mahu pulang ke Eropah kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan cuaca dan budaya.

Bekas kapten Liverpool, Jordan Henderson menjadi pemain ternama pertama meninggalkan pasukannya, Al-Ettifaq untuk menyertai kelab gergasi Belanda, Ajax.

Beberapa pemain lain, termasuk Karim Benzema serta Roberto Firmino merupakan antara nama yang berada dalam laporan sedia meninggalkan negara Timur Tengah tersebut.

Situasi itu pastinya akan mencalarkan usaha untuk menaikkan lagi nilai Liga Arab Saudi yang mahu menjadi salah sebuah divisyen bola sepak terbaik di peringkat global.

Bagaimanapun, tampil mempertahankan liga berkenaan ialah penyerang Al-Nassr, Cristiano Ronaldo yang membandingkannya dengan beberapa liga ternama seluruh dunia.

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah beraksi dengan jeneral Man United dan hampir dicekik bintang EPL antara momen Geraldes sebelum ke JDT

BACA LAGI: [VIDEO] Fans cilik kelab EPL buat hal, sengaja rai gol depan penyokong lawan

"Sejujurnya, saya boleh katakan Liga Arab Saudi tidaklah begitu teruk sekiranya hendak dibandingkan dengan Liga Perancis (Ligue 1), ini adalah pendapat saya.

"Di Perancis, saya berasakan terdapat dua atau tiga pasukan yang berada di tahap cukup baik. Tetapi, di Arab Saudi, saya berasakan ia adalah lebih mencabar," katanya.

Penyerang legenda bola sepak itu berkata demikian dalam majlis Anugerah Bola Sepak Global yang diadakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat.

Pandangannya tersebut dibuat sebagai respons kepada kritikan diberikan media sekitar Eropah mengenai situasi Liga Arab Saudi yang dikatakan terlalu ketat dan kurang sesuai dengan situasi semasa.

Cristiano Ronaldo sebelum ini menyertai Al-Nassr selepas khidmatnya ditamatkan Manchester United dengan perpindahan berkenaan memberi nafas baharu buat negara Timur Tengah itu.

Perpindahannya turut menyaksikan reputasi serta imej Liga Juara-Juara AFC (ACL) lebih meraih perhatian memandangkan pasukannya melayakkan diri ke pusingan kalah mati.

Sepanjang bersama Al-Nassr, kapten pasukan kebangsaan Portugal itu sudah menjaringkan 34 gol dalam 34 penampilan dalam kesemua kejohanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram