JOHOR Darul Ta'zim menjadi antara pasukan yang sudahpun melakukan persiapan lebih awal untuk mengharungi saingan Liga Super musim depan apabila melakukan rombakan secara besar-besaran serta mengumumkan kemasukan dua pemain import baharu baru-baru ini.
Namun segala kejayaan lampau, pengalaman serta sumbangan pemain-pemain yang berada di JDT pastinya menjadi kenangan indah buat mereka sepanjang berkhidmat di Harimau Selatan.
Kenangan beraksi di dalam dan luar padang sesama pemain pastinya membuatkan mereka lebih mengenali rakan sepasukan sekali gus dapat menghasilkan keputusan yang baik.
Pada Selasa, dua bintang paling 'senior' dalam JDT, Aidil Zafuan dan Farizal Marlias berkongsi kepada JDT TV, pandangan mereka tentang sisi unik pemain lain seperti Nazmi Faiz dan Fernando Forestieri yang tidak diketahui orang ramai.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemain terbaik J-League tapi import idaman Selangor senang 'injured'
Nazmi hanya tampil dalam lapan perlawanan bersama JDT musim ini.
Menurut Farizal, Nazmi menjadi antara pemain paling berdisiplin di dalam skuad Harimau Selatan kerana sentiasa datang awal untuk memulakan sesi latihan bersama pasukan.
"Aku rasa Nazmi, sebab setiap kali kita sampai dekat gimnasium mesti dia dah berpeluh.
"Sebenarnya ada pemain lain lagi, tapi selalunya Nazmi," kata bekas penjaga gol kebangsaan itu.
Pandangan yang dibuat oleh Farizal mengenai Nazmi itu turut mendapat persetujuan daripada Aidil yang akan menyertai barisan kejurulatihan JDT pada musim depan.
Selain itu, Aidil juga sempat berkongsi karakter lain Fernando Forestieri sepanjang dua musim bersama pasukan sebelum memulakan perlawanan.
Katanya, Forestieri merupakan seorang pemain yang memiliki perwatakan tersendiri sebelum aksi penting bermula.
"Haziq Nadzli dia tidak akan bercakap dengan sesiapa pun sebelum perlawanan, berada dalam keadaan serius.
"Seorang lagi ialah Fernando Forestieri, dia tidak akan bergurau sebelum perlawanan.
"Kalau kita tanya sepatah dia akan jawab sepatah,” jelas Aidil.
Meskipun, Forestieri merupakan antara watak penting di bawah kendalian Esteban Solari, khidmat bintang kelahiran Itali itu tidak akan kekal bersama JDT selepas kelab mengumumkan perpisahan dengan pemain tersebut bagi saingan musim baharu.
Musim lalu, pemain berusia 34 tahun itu merekodkan jumlah jaringan yang baik apabila meledak 19 gol dan tujuh bantuan gol dalam saingan Liga Super.
Manakala Nazmi pula hebat dikaitkan kembali ke bekas pasukannya Selangor pada musim depan selepas ada dakwaan mengatakan dia kecewa kerana tidak tersenarai dalam 26 pemain akhir skuad kebangsaan yang beraksi di Piala Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram