Akhyar Rasid bawa watak 'game changer' capai misi 3 mata bertemu Jordan


  • Podium
  • Ahad, 14 Jan 2024

Akhyar mungkin diturunkan dalam ketiga-tiga aksi Kumpulan E. — Facebook/FAM

BAGI kejohanan Piala Asia 2923, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon membawa 26 pemain berkualiti yang beraksi dalam dan luar negara untuk memulihkan maruah Malaysia di pentas Asia.

Barisan pertahanan skuad kebangsaan diketuai oleh Dion Cools bersama beberapa tonggak utama seperti Matthew Davies, Corbin-Ong, Syahmi Safari, Shahrul Saad, Daniel Ting, Junior Eldstal dan Khuzaimi Piee.

Manakala, tiga penjaga gol yang dibawa ialah penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT), Syihan Hazmi, Sikh Izhan dan juga Azri Ghani.

Dari 26 orang tonggak itu, seramai lapan orang pemain dipilih untuk mengemudi jentera serangan negara iaitu Darren Lok, Arif Aiman, Faisal Halim, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, dah dua bintang naturalisasi, Paulo Josue dan Romel Morales.

Dalam senarai nama penyerang berkenaan, penyerang sayap Harimau Selatan, Akhyar Rashid berpotensi untuk menjadi pemain yang akan mengubah nasib permainan Malaysia ketika perlawanan pembukaan menentang Jordan pada awal pagi Selasa (1,30 pagi waktu Malaysia).

WhatsApp Image 2024-01-14 at 12.12.15-2

Akhyar (kanan) sering menggegarkan gawang lawan setiap kali menyarung jersi skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

“ ‘Game changer’, Akhyar Rashid dijangka main watak penting buat Harimau Malaya di PIALA Asia bermula pertemuan menentang Jordan,” kongsi ciapan dari pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam di platform X.

Rekod cemerlangnya pada perlawanan-perlawanan sebelum ini pasti menjadi salah satu faktor Pan-gon memberi tanggungjawab tersebut kepada pemain berusia 24 tahun berkenaan.

Walaupun minit permainan Akhyar diperdebatkan dalam kalangan penyokong namun persembahan pemain lincah itu mengatakan sebaliknya apabila dia sering menjadi watak yang akan menyelamatkan maruah Malaysia menerusi jaringan gol mahupun hantaran bantuan.

Dalam lapan penglibatan gol Akhyar untuk Malaysia sepanjang di bawah kendalian Pan-gon, lima daripadanya adalah jaringannya sendiri dan tiga lagi merupakan bantuan untuk rakan sepasukan.

Oleh itu, jangan terkejut jika pemain kelahiran Kedah itu mendapat kepercayaan Pan-gon untuk beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan menentang Bahrain, Korea Selatan dan Jordan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram