SELEPAS mengalami satu musim yang mengecewakan, Penang FC membuat rombakan besar-besaran dalam misi menambah baik kedudukan serta menjadi pasukan digeruni musim depan.
Pengakhiran Liga Super di tangga ke-10 serta penyingkiran awal daripada saingan peringkat domestik mendesak perubahan diambil dengan harapan ia dapat memberi nafas baharu.
Jadi, antara langkah baharu yang dibuat pihak pengurusan adalah dengan melantik pengarah teknikal baharu yang juga merupakan legenda kelab, Merzagua Abderrazzak dalam satu kenyataan rasmi pada Selasa.
BACA LAGI: Penyokong resah Penang FC bakal guna 100% tenaga tempatan
Pengalamannya yang meluas dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan menjadi harapan buat kelab Utara tanah air tersebut selain reputasinya cukup baik dalam kalangan penyokong diharapkan dapat mengembalikan Penang FC ke landasan.
Selain itu, pengendali baharu, Akmal Rizal Ahmad Rakhli turut dibawa masuk selepas membawa satu keputusan positif ketika memegang jawatan berkenaan secara sementara musim lalu.
Merzagua (biru) mempunyai reputasi cukup baik dalam kalangan penyokong Penang FC.
Sentuhan jurulatih itu dapat disaksikan bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) dengan gaya permainannya yang moden cukup diminati rata-rata penyokong Penang FC.
Bagaimanapun, menurutnya, ia tidak menjadi satu sebab untuknya berasakan dia sudah mempunyai ilmu mencukupi untuk mengendalikan pasukan dalam Liga Super.
"Saya tak terfikir akan diberi tanggungjawab mengendalikan pasukan utama Penang FC kerana tugas saya di skuad B-23 masih banyak untuk meningkatkan kualiti pasukan.
"Tetapi, selepas dilantik sebagai jurulatih interim November lalu, saya mahu buktikan yang saya sudah bersedia untuk ke pasukan utama. Alhamdulillah, pihak pengurusan berpuas hati dengan apa yang saya lakukan selama ini.
"Peluang ini akan saya ambil untuk buktikan kualiti saya sebagai jurulatih untuk jadikan Penang FC pasukan yang mampu bersaing di musim baharu ini selain meningkatkan kualiti permainan," katanya kepada Majoriti.
Akmal Rizal secara rasmi dilantik sebagai pengendali baharu skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC
Akmal Rizal sebelum ini dibawa masuk ke dalam skuad utama Harimau Kumbang bagi menggantikan pengendali utama, Chong Yee Fatt kerana prestasi tidak menentu dialami mereka.
Meskipun mengalami kekalahan 0-8 kepada Johor Darul Ta'zim dalam perlawanan terakhir musim, dua keputusan positif ketika berdepan Sri Pahang FC dan Terengganu FC membolehkannya diberikan kepercayaan itu.
Dalam pada itu, jurulatih berusia 42 tahun itu turut menjelaskan bahawa dia teruja kerana diberikan peluang bekerjasama di samping Merzagua yang cukup dikenali dalam kalangan penyokong Penang FC.
"Penang FC bertuah kerana dapat melantik dia melihat kepada pengalaman yang besar dalam bola sepak dan Maghribi kini juga mempunyai struktur bola sepak yang baik.
"Saya akan bekerjasama dengannya dan meminta pandangan tentang perancangan pasukan untuk memulakan musim baharu kali ini," jelasnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram