Ramalan 'expert' mungkin ada betulnya, peluang HM di Piala Asia kini semakin tipis


  • Podium
  • Rabu, 17 Jan 2024

Malaysia memiliki peluang yang amat kecil untuk cuba layak ke pusingan kalah mati. — Facebook/FAM

KEKALAHAN Malaysia 0-4 kepada Jordan pada aksi pembukaan Piala Asia 2023 membuka mata ramai pihak mengenai satu perkara.

Perkara tersebut adalah realiti sebenar yang kita masih lagi jauh di belakang untuk bersaing hebat dengan pasukan-pasukan Asia lain.

Dengan kekalahan teruk dialami Harimau Malaya, peluang semakin tipis untuk Malaysia layak ke pusingan seterusnya terutamanya sebagai dua pasukan terbaik kumpulan E.

Ia secara tak langsung mengiyakan ramalan Supercomputer yang mengatakan Malaysia cuma ada 0.2 peratus peluang untuk mara ke pusingan kalah mati.

Analisis ringkas Majoriti kali ini akan mencongak peluang Malaysia untuk ke pusingan seterusnya walaupun sebenarnya sukar:

BACA LAGI: [VIDEO] Gol awal Jordan 'bunuh' Harimau Malaya, kami boleh buat lebih baik — Matt Davies

420083612_1078820056524563_8122797384428411523_n

Arif Aiman perlu bangkit bertemu Bahrain. — Facebook/FAM

Bahrain WAJIB ditewaskan

Memandangkan kekalahan kepada Jordan terlalu sukar untuk diterima. Skuad kendalian Kim Pan-gon wajib bangkit bertemu Bahrain.

Bangkit bukan sekadar beraksi dengan lebih baik, sebaliknya adalah mereka perlu tewaskan Bahrain dengan memperoleh jumlah jaringan baik.

Apa yang pasti adalah, Malaysia tidak boleh bolos ketika bertemu Bahrain. Dengan perbezaan jaringan negatif, jika bolos lagi maka akan tipiskan lagi peluang untuk mara.

Itu adalah kuncinya. Kerana, kita tidak tahu berapa jaringan Harimau Malaya akan hasilkan. Jika banyak, baguslah kerana ia akan meneutralkan balik perbezaan gol tetapi seandainya kurang maka skuad kebangsaan akan ada masalah bertemu Korea Selatan kelak.

Keputusan positif bertemu Korea Selatan

Untuk membesarkan peluang Malaysia layak ke pusingan seterusnya, keputusan positif mestilah diraih apabila bertemu Korea Selatan.

Positif bermaksud jika berjaya mendapatkan keputusan seri itu dianggap cukup baik bagi mencerahkan peluang untuk mara.

Akan tetapi, sekali lagi, Malaysia harus mengelak daripada mencatatkan keputusan seri dengan jumlah jaringan yang besar. Hal ini kerana, ia akan menganggu perbezaan jaringan skuad kebangsaan.

Seandainya berjaya mencipta kejutan menewaskan Korea Selatan, itu amat dialu-alukan. Sebelum ini, Safawi Rasid berjaya membuat Son Heung-min menangis, apa salahnya kalau ia terjadi lagi bukan?

Jumlah bolos adalah musuh nyata

Ketika ini, boleh dikatakan Malaysia tempang kerana perbezaan gol yang negatif dan jurang yang besar untuk ditutup. Ia memerlukan kerja keras daripada para pemain untuk mengelakkan jurang tersebut menjadi lebih teruk.

Mungkin ada benarnya kenapa Supercomputer hanya meramalkan Malaysia ada 0.2 peratus peluang untuk menjadi juara Piala Asia 2023. Tetapi itu cuma ramalan, nasib sebenar adalah di tangan pemain kita sendiri.

Kekalahan 0-4 terhadap Jordan itu adalah perit untuk diterima. Tapi kita sebagai penyokong haruslah terus mendukung perjuangan Harimau Malaya, walaupun ketika waktu di puncak atau sedang menyembah bumi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram