'Why not?', penyudah tajam di pentas Asia buat kelab Liga M berebut Supachai


  • Podium
  • Khamis, 18 Jan 2024

Supachai mempunyai rekod jaringan cukup baik di peringkat kelab serta bersama skuad kebangsaannya. — Agensi

SKUAD Gajah Perang menghadiahkan berita melegakan buat peminat bola sepak di Asia Tenggara apabila menjadi satu-satunya pasukan yang meraih kemenangan dalam aksi pertama Piala Asia dari rantau berkenaan.

Tiga mata yang dikutip setelah menundukkan Kyrgyzstan 2-0 di Stadium Abdullah bin Khalifa, Qatar pada Selasa meletakkan mereka di tangga teratas Kumpulan F.

Pujian seharusnya diberikan kepada pasukan itu memandangkan mereka tidak mengadakan sesi latihan berpusat di negara Timur Tengah tersebut lebih awal, namun mampu menampilkan persembahan terbaik.

Selain itu, tumpuan juga perlu ditujukan kepada penyerang Thailand, Supachai Chaided yang menjaringkan dua gol untuk memastikan kemenangan berpihak kepada skuad kendalian Masatada Ishii.

Dia yang sebelum ini menjadi bahan bualan kerana berbangsa Melayu dan beragama Islam sekali lagi mengangkat namanya selepas membuktikan nilai sebenarnya di atas padang.

4929664

Supachai mempunyai karier cukup prolifik bersama Buriram United dalam Liga Thai. Agensi

Perhatian juga pastinya diberikan pasukan-pasukan Liga Super yang tertarik dengan ketajamannya di hadapan pintu gol serta kelincahannya dalam melepasi benteng pertahanan lawan.

Bagaimanapun, usaha berkenaan pastinya sukar memandangkan nilai penyerang berusia 25 tahun itu mencecah RM5.1 juta (€1 juta) seperti mana dipamerkan di laman sesawang transfermarkt.

Di samping itu, kariernya bersama Buriram United adalah cukup membanggakan dengan beberapa gelaran dimilikinya, termasuk empat kejuaraan Liga Thai sejak menyertai pasukan terbabit pada 2017.

Tetapi, sekiranya kelab Liga Super sememangnya serius untuk mendapatkan khidmat Supachai, mereka boleh membuat pelaburan besar-besaran untuk menyambarnya pada jendela perpindahan kali ini.

Berdasarkan situasi semasa bola sepak tanah air, terdapat tiga pasukan yang boleh membawa masuk pemain terbabit dalam usaha menguatkan lagi jentera serangan masing-masing.

1. Selangor FC

Harapan penyokong skuad Gergasi Merah untuk menyaksikan kehebatan Ayron del Valle musim depan tidak kesampaian setelah pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super 2023 itu dilaporkan mahu pulang ke Colombia.

Kehilangannya cukup dikhuatiri skuad kendalian Tan Cheng Hoe memandangkan kepantasannya cukup serasi dalam pasukan, lebih-lebih lagi dengan bantuan penyerang sayap, Faisal Halim.

Jadi, seorang pemain lincah pastinya menjadi keutamaan Selangor FC sepanjang jendela perpindahan kali ini yang dapat membantu mereka di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 pada edisi akan datang.

452053621696991RIS_9158

Seorang pengganti kepada Ayron perlu didapatkan skuad Gergasi Merah segera. Selangor FC

Supachai boleh dianggap sebagai calon terbaik kerana pemain kebangsaan Thailand itu mempunyai pengalaman beraksi di pentas Asia bersama Buriram United.

Meskipun nilainya boleh dikatakan terlalu tinggi, struktur kewangan Selangor FC yang kukuh mampu menjadi faktor utama sekiranya mereka serius untuk mendapatkan penyerang terbabit.

Selain itu, pasukan Lembah Klang berkenaan boleh dikatakan bercita-cita besar kerana dikaitkan dengan beberapa penyerang import berharga yang kini beraksi sekitar Asia, termasuk di Korea Selatan dan Jepun.

Bagaimanapun, perpindahan itu seakan-akan sukar untuk dimeterai memandangkan skuad Gergasi Merah jarang mendapatkan khidmat pemain dari negara berkenaan pada tahun-tahun lalu.

2. Kedah Darul Aman FC

Musim ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC meletakkan dua penyerang import, Willian Lira yang beraksi pada separuh pertama musim sebelum memberi kepercayaan itu kepada Ifedayo Olusegun.

Percaturan itu hampir membantu skuad Sang Kenari menempah slot ke pentas Asia musim depan sebelum dua kekalahan berturut-turut meletekkan pasukan berkenaan di tangga keempat Liga Super.

Jadi, dalam memberikan tentangan lebih hebat, pasukan itu semestinya mahu memperkuatkan pasukan pada jendela perpindahan kali ini, lebih-lebih lagi di posisi serangan.

Dr-mohd-daud-bakar-pattani-fc

Daud Bakar (kiri) mempunyai hubungan baik dengan komuniti Pattani di Thailand. Facebook/Pattani FC

Kehadiran Supachai yang juga mampu beraksi sebagai pemain sayap mampu merealisasikan cita-cita skuad kendalian Nafuzi Zain untuk berada di kedudukan lebih baik.

Meskipun terdapat pihak mempertikaikan pilihan ini, hubungan baik pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar dengan komuniti Melayu Pattani mampu menjadikan perpindahan berkenaan satu kenyataan.

Tawaran gaji yang berbaloi boleh membantu perpindahan berkenaan, lebih-lebih lagi sekiranya KDA FC dapat menarik lebih banyak penaja sebelum saingan Liga Super bermula.

Persoalannya, dengan pasukan terbabit tidak akan beraksi di pentas Asia, adakah Supachai akan tertarik dengan peluang mengembangkan karier di negara berhampiran?

3. Terengganu FC

Percubaan Terengganu FC membantu penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn mencuba nasib dalam Liga Super tidak berjaya kerana dia hanya menjaringkan tiga gol dan dua bantuan jaringan dalam 19 penampilan Liga Super.

Bagaimanapun, adalah tidak adil untuk menyalahkan kelab Pantai Timur atas kegagalan pemain terbabit memandangkan dia bergelut dengan isu kecergasan sepanjang musim.

Jadi, sekiranya skuad Sang Penyu masih mahu memberi peluang buat penyerang dari skuad Gajah Perang, Supachai merupakan pilihan utama melihat kepada rekodnya beberapa musim kebelakangan ini.

adisak23_1677128955

Adisak gagal memberi impak buat skuad Sang Penyu musim lalu. Facebook/Terengganu FC

Meskipun masih memiliki khidmat Ivan Mamut, kehadiran seorang lagi peledak berbisa mampu membantu pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner bersaing lebih hebat.

Terengganu FC juga dilaporkan tidak mengalami sebarang isu kewangan dan tunggakan gaji musim lalu, sekali gus memberi ruang buat mereka membuat pelaburan besar.

Namun, kecenderungan Tomislav menggunakan seorang import dari Croatia mampu menutup perpindahan tersebut kerana dia pastinya lebih selesa sepanjang berkomunikasi dengan mereka.

Selain itu, kesukaran merebut tempat daripada Ivan Mamut akan membuatkan Supachai berfikir untuk menyertai kelab Pantai Timur terbabit dengan isu minit permainan akan memainkan peranan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram