Selain Saddil Ramdani, 3 bintang Liga M juga pernah digugurkan 'last minute'


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Saddil digugurkan dalam skuad Garuda kerana beberapa faktor. — Agensi

BARU-BARU ini, kancah bola sepak tanah dikejutkan dengan berita kurang gembira apabila pemain sayap Sabah FC, Saddil Ramdani digugurkan pada saat akhir daripada mewakili Timnas Indonesia.

Saddil yang juga merupakan tonggak Indonesia digugurkan daripada menyertai skuad Garuda sebelum Piala Asia 2023 bermula di Qatar.

Difahamkan, tonggak Sabah FC itu digugurkan oleh Ketua Jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong atas faktor 'teknikal' yang membuatkan dia terpaksa melupakan peluang berdepan Vietnam, Iraq dan Jepun dalam saingan kumpulan D.

Namun, di laporan berlainan yang dikeluarkan oleh CNNIndonesia.com mengatakan isu disiplin, masalah sikap dan prestasi kurang memberangsangkan menjadi faktor pemain berusia 25 tahun itu ‘dibuang’ daripada perancangan Sang Garuda.

Bagaimanapun, perkara itu bukan kes pertama dalam industri bola sepak malah Malaysia turut pernah terpalit dengan isu seperti itu.

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain Liga Malaysia (Liga M) yang pernah digugurkan dalam bola sepak tanah air:

BACA LAGI: Keputusan gugur Saddil Ramdani dari skuad Timnas Indonesia undang reaksi senang penyokong Sabah

WhatsApp Image 2024-01-12 at 21.31.15 (2)

Azam Azih pernah gagal berada dalam skuad kendalian, Cheng Hoe. — Facebook

1) Nor Azam Azih

Antara pemain yang pernah digugurkan dalam kem kebangsaan bagi persediaan Piala Suzuki AFF 2018 ialah Nor Azam Azih.

Meskipun dilihat antara yang konsisten dalam pasukan namun Azam gagal berada dalam radar jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Cheng Hoe yang merupakan Ketua Jurulatih kebangsaan ketika itu enggan mengambil risiko melibatkan kecergasan Azam yang tidak berada di tahap terbaik.

Ia berikutan kerana kecederaan yang dialami memaksa pemain tengah tersebut bergantung dengan perubatan setiap kali turun ke padang.

WhatsApp Image 2024-01-12 at 21.31.15 (1)

Safawi antara pemain yang pernah digugurkan dalam skuad kebangsaan. — Facebook

2) Safawi Rasid

Selain itu, Safawi Rashid merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia bola sepak tempatan juga pernah digugurkan dalam senarai skuad kebangsaan.

Meskipun tidak tersenarai, Safawi Rasid bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada pengendali skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara ketika itu, Datuk Ong Kim Swee kerana menggugurkan namanya daripada senarai pemain bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina.

Bintang Johor Darul Takzim (JDT) itu mengakui dia berasa penat untuk beraksi selepas terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat sepanjang tahun ini, baik ketika menyarung jersi kelabnya mahupun skuad kebangsaan.

WhatsApp Image 2024-01-12 at 21.31.15

Rahadiazli juga merupakan pemain yang digugurkan dalam skuad kebangsaan. — Facebook

3) Rahadiazli Rahalim

Penjaga gol Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim juga antara yang pernah digugurkan daripada skuad B-22 negara ke Sukan SEA Kemboja akibat kecederaan namun menerimanya sebagai ujian sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

Justeru, pemain berusia 22 tahun itu mahu fokus untuk kembali pulih sepenuhnya sebelum Liga Super kembali bersambung selepas berakhir temasya dwitahunan ketika itu.

Menurutnya, dugaan sentiasa menimpa dirinya setiap kali dipanggil ke skuad kebangsaan kerana sebelum ini, namanya pernah digugurkan daripada skuad Harimau Malaya selepas positif Covid-19 dan terbaharu, mengalami kecederaan retak di bahagian tangan kanan, sekali gus terpaksa melupakan hasrat ke Kemboja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram