SETIAP juara pasti akan ada kisahnya. Lazimnya, setiap juara akan mempunyai perjalanan yang sukar dalam usaha sampai ke puncak.
Tetapi, tidak semuanya melaluinya dengan tragis. Sebagai contoh, pasukan kebangsaan Iraq melalui detik penuh sukar ketika hendak menyertai Piala Asia 2007.
Ramai akan ingat kisah bagaimana sebuah negara yang sedang bergolak, berjaya muncul menjadi raja bola sepak Asia ketika itu.
Inilah kisahnya, bagaimana Singa Mesopotamia bangkit mengaum menggegarkan seluruh Asia.
Menjadi pemain bola tidak semuanya indah
Di negara lain, menjadi pemain bola sepak boleh dianggap sebagai kerjaya idaman. Gaji lumayan, kereta berenjin besar serta masyhur dalam kalangan orang ramai pastinya menanti.
Tetapi tidak untuk pemain bola sepak di Iraq, ketika pemerintahan Uday, anak kepada Saddam Hussein yang merupakan Presiden Majlis Olimpik Iraq dan Persatuan Bola Sepak Iraq, kesemua kegagalan akan dihukum dengan cukup berat.
Ketika pemerintahan Uday, seluruh skuad kebangsaan Iraq pernah didera bermain bola yang diperbuat daripada besi konkrit selepas gagal layak ke Piala Dunia 1994.
Pada 2000, tiga pemain telah diseksa di dalam sebuah kamar khas yang dibina bawah tanah ibu pejabat Majlis Olimpik Iraq selepas mereka tersingkir di suku akhir Piala Asia kepada Jepun. Itu adalah beberapa penyeksaan selain daripada dipenjara, dipukul sambil dibuang ke loji najis oleh Uday.
Uday Hussein akan menyeksa atlet Iraq yang tidak beraksi cemerlang. — Agensi
Tidak lama kemudian, Uday dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat yang menceroboh negara tersebut. Walaupun Uday dan Saddam sudah tiada di negara tersebut, tetapi kedamaian masih belum hadir buat Iraq.
Sebagai contoh, persiapan skuad bola sepak Olimpik negara itu terganggu apabila jurulatih mereka, Bernd Stange meletakkan jawatan sebelum Sukan Olimpik Athens 2004 apabila melihat pemandunya dibunuh depan mata sebelum temasya bermula. Dia meletakkan jawatan kerana bimbangkan keadaan dirinya.
Walaupun begitu, mereka berjaya mencipta kejutan di Athens, Greece apabila berjaya memenangi peringkat kumpulan termasuk menewaskan Portugal yang ditunjangi Cristiano Ronaldo ketika itu.
Iraq berjaya layak sehingga ke separuh akhir namun tewas kepada Paraguay 1-3 sebelum tumpas di tangan Itali dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.
Pergi latihan seperti berperang
Rekod baik di Athens tanpa disedari memberi harapan cerah kepada Iraq. Barisan yang cemerlang di Sukan Olimpik terus mekar apabila beraksi di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam untuk Piala Asia tiga tahun berikutnya.
Namun begitu, waktu itu para pemain tetap menjadi sasaran pengganas. Puak pelampau sentiasa mengganggu pemain dan keluarga mereka kerana tidak boleh menerima skuad Iraq dibarisi oleh bintang-bintang yang mempunyai fahaman Sunni, Syiah dan Kurdish.
Setiap pemain ada kisah tragis mereka. Sebagai contoh, pemain tengah Hawar Mulla Mohamed terpaksa turun ke latihan sambil membawa mesingan demi menjaga keselamatan diri sendiri.
Sementara penjaga gol, Noor Sabri menerima khabar buruk apabila abang iparnya terbunuh sebelum kejohanan bermula. Manakala Haitham Kadhim melihat rakan sepasukannya dibunuh di depan mata ketika perlawanan diadakan.
Hawar Mulla Mohamed terpaksa bawa senjata api ke latihan. — Agensi
Younis Mahmoud wira negara
Bermain di Thailand, Mahmoud menunjukkan kredibilitinya sebagai penyerang apabila menyelamatkan Iraq daripada kalah kepada tuan rumah dengan mencuri satu mata pada aksi pembukaan.
Kejutan terus dilakar Iraq apabila berjaya menewaskan Australia 3-1 sebelum keputusan seri bertemu Oman cukup untuk membawa mereka ke suku akhir. Di suku akhir, Iraq terus mengganas apabila menewaskan Vietnam 2-0.
Cabaran getir apabila bertemu Korea Selatan di separuh akhir bertemu Korea Selatan. Sabri muncul wira apabila membantu Iraq menang penentuan sepakan penalti selepas seri tanpa jaringan.
Noor Sabri merupakan wira Iraq ketika menewaskan Korea Selatan di separuh akhir. — Agensi
Keputusan itu nyata menggembirakan ramai rakyat Iraq. Untuk seketika, negara bergolak itu bersatu meraikan kejayaan pasukan bola sepak mereka di Asia Tenggara.
Malangnya, situasi indah itu dicemari dengan pengeboman berani mati di tempat awam yang mengorbankan hampir 30 nyawa. Disebabkan itu, skuad Iraq yang mengetahui perkara tersebut mahu menarik diri daripada bermain di perlawanan akhir bertemu Arab Saudi. Pada mereka, kejayaan itu secara tidak langsung mengundang tragedi kepada rakyat Iraq sendiri.
Namun rayuan ibu salah seorang mangsa pengeboman itu meminta agar pemain Iraq terus bermain di perlawanan akhir dan pulang sebagai juara. Katanya, selagi tidak pulang, dia tidak akan kebumikan mayat anaknya.
Skuad Iraq terus menyahut cabaran tersebut dan Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta menjadi saksikan ngauman Singa Mesopotamia apabila tandukan Mahmoud sudah cukup untuk menewaskan Arab Saudi.
Kejayaan tersebut nyata membawa kegembiraan buat satu negara dan Mahmoud sentiasa dikenang sebagai wira dan legenda bola sepak Iraq.
Tandukan Younis Mahmoud memberikan kejayaan Iraq di Piala Asia 2007. — Agensi
Kisah kejayaan Iraq ini merupakan sebuah perjalanan yang penuh liku. Daripada tidak boleh mengadakan perlawanan di negara sendiri kerana faktor keselamatan hinggalah masalah pasport untuk terbang ke Asia Tenggara serta menaiki pesawat kelas ekonomi - Singa Mesopotamia telah melalui semuanya.
Iraq berjaya mencipta kisah mereka dalam bola sepak. Kini masa untuk Malaysia melakar perkara sama di Qatar dengan mencipta kejutan demi kejutan dalam Piala Asia 2023 kelak.
Masa untuk pemain Harimau Malaya mengambil inspirasi daripada kisah kejayaan Iraq ini. Masa untuk pecahkan tembok yang menghalang kita daripada mengaum kuat sekali gus menumbangkan musuh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram