[VIDEO] Lepas main bola sepak dalam lumpur, bekas bintang Liverpool bina stadium untuk orang kampung


  • Podium
  • Selasa, 09 Jan 2024

Mane (kiri) merasmikan stadium yang disumbangkan olehnya kepada penduduk kampung halaman.

BEKAS bintang Liverpool FC, Sadio Mane, meneruskan niat murninya di negara kelahirannya, Senegal dengan membina sebuah stadium baharu untuk penduduk kampung halamannya di Bambali.

Sadio Mane pulang ke tanah airnya sempena pembukaan rasmi stadium itu sekali gus menyertai kem latihan pusat Senegal bagi menghadapi Piala Negara Afrika di Ivory Coast.

Pada tahun lalu, Sadio Mane kelihatan bermain bola sepak di sebuah padang yang berlecak di Bambali selepas mengharungi musim sukar di Eropah apabila meninggalkan kelab Jerman, Bayern Munich.

Dalam perlawanan tersebut, gambar-gambar yang diambil ketika aksi persahabatan bersama komuniti penduduk kampung yang disertai olehnya itu telah menjadi tular dalam media sosial.

Sejak itu, bintang bola sepak Al-Nassr tersebut berjanji untuk memperbaiki padang berkenaan bagi keselesaan penduduk kampung halamannya.

Selepas hampir setahun kini janjinya itu telah ditepati dengan pembukaan rasmi stadium tersebut yang dihadiri orang-orang kampung dan kenamaan di Bambali.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ingat kelab bawahan England main cantik?', fans Liverpool kena basuh supaya sokong pasukan 'lokal'

"Saya sangat gembira dapat bersama dengan anda semua hari ini dan saya mahu mengalu-alukan anda ke kampung halaman saya di Bambali di mana semuanya bermula.

"Dengan penuh rasa bangga dengan hati yang penuh rasa gembira, saya berdiri di hadapan anda di padang bola sepak bertaraf FIFA ini, ia sangat bermakna untuk saya.

"Ini bukan sahaja hadiah saya kepada kampung kesayangan saya. Yang paling penting, ini merupakan lambang perpaduan kita, kekuatan dan minat kita terhadap bola sepak," katanya kepada Wiw Sports.

Untuk info, pemain bola sepak berusia 31 tahun itu akan mengetuai pasukan Senegal untuk mengharungi kejohanan AFCON di Ivory Coast dengan misi untuk mempertahankan trofi yang telah dimenangi mereka pada 2022.

Senegal diundi berada dalam Kumpulan C bersama Cameroon, Guinea dan Gambia.

Ketika ini, Sadio Mane sedang menikmati musim terbaik bola sepak dalam Liga Pro Saudi apabila menjaringkan 12 gol dalam kesemua pertandingan, berganding dengan 'kuda tua' Portugal, Cristiano Ronaldo. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram