PENGURANGAN kos untuk musim 2024 tidak menghalang Johor Darul Takzim (JDT) membawa masuk pemain import berkualiti dari Portugal, Francisco Geraldes selaku tonggak baharu untuk saingan musim baharu ini
Pemain tengah tersebut hadir dengan reputasi cukup baik apabila pernah mewakili beberapa pasukan sekitar Eropah, termasuk Sporting Lisbon, Eintracht Frankfurt di Jerman dan kelab terakhirnya adalah bersama pasukan di liga Emiriah Arab Bersatu (UAE), Baniyas.
Geraldes menyarung jersi bernombor 10 di JDT. — Facebook/JDT
Geraldes merupakan import baharu kedua yang diumumkan Harimau Selatan selepas kelab yang dimiliki Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim itu mengumumkan kehadiran pemain import dari Syria, Jalil Elias.
Kehadiran Geraldes juga sedikit sebanyak mengisi kekosongan yang ditinggalkan beberapa pemain import yang dilepaskan oleh skuad Harimau Selatan sebelum ini iaitu Diogo Luis Santo, Leandro Velazquez dan Fernando Forestieri.
Sebelum penyokong dihidang dengan aksi arkitek berusia 28 tahun berkenaan, Majoriti ingin berkongsi beberapa fakta menarik untuk diketahui pengikut Harimau Selatan sebagai platform bagi mengenali lebih dekat pemain berkenaan.
BACA LAGI: Lepas JDT, Sri Pahang FC pula berminat nak dapatkan khidmat Brendan Gan
1) Rakan sepasukan Bruno Fernandes
Geraldes ketika menyarung jersi Sporting pada musim 2020. — Instagram/Geraldes
Ketika menyarung jersi pasukan gergasi, Sporting Lisbon, pemain baharu Harimau Selatan berkenaan pernah beraksi bersama bintang Manchester United, Bruno Fernandes sekitar musim 2018-2019.
Berdasarkan laman Transfermarkt, Geraldes berkesempatan untuk beraksi dalam 18 perlawanan bersama ketua pasukan United berkenaan, yang mana enam daripadanya adalah sewaktu mewakili pasukan kebangsaan Portugal bawah 21 tahun.
Menarik dałam 12 perlawanan untuk Sporting Lisbon ketika musim 2018/19 itu, gabungan Geraldes dan Bruno membantu pasukan mereka memenangi 11 aksi dan hanya merekodkan satu seri sahaja.
Pengalaman dan peranannya bersama bintang The Red Devils itu boleh memberi gambaran bahawa Geraldes dapat meneruskan legasi tanpa kalah Harimau Selatan di saingan Liga Super pada musim 2024 ini.
2) Jaring gol lawan AC Milan
Dari 25 jaringan gol pernah dicetak oleh pemain tengah itu, salah satu jaringan gol sukar untuk dilupakan sepanjang bergelar pemain profesional adalah ketika Geraldes menjaringkan gol ketika berdepan gergasi bola sepak Itali, AC Milan.
Geraldes yang ketika itu beraksi bersama kelab Portugal, Rio Ave berdepan pasukan terbabit di peringkat 'play-off' Liga Eropah UEFA (UEL) 2020/21 dengan dia mencetak gol penyamaan buat pasukannya.
Walaupun gagal membawa pasukan mara selepas tewas dalam penentuan sepakan penalti, ia sudah cukup untuk memberi satu gambaran akan pengalamannya yang cukup hebat di pentas Eropah.
Pengalaman di pentas Eropah menentang pasukan Serie A itu pasti memudahkan pemain berketinggian 1.75 itu untuk membantu Harimau Selatan menghadapi saingan sukan di Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elit musim ini.
BACA LAGI: Jeneral tersisih JDT tak jadi ke Penang, dikhabar pilih sertai revolusi Aidil Sharin
3) Gaduh dengan bintang EPL
Tangkap layar pergaduhan antara Geraldes (kiri) dan Mitrovic (kanan). — Agensi
Bukan kenangan manis namun Geraldes pernah mencuri tumpuan apabila pernah terlibat dengan pergaduhan dengan bekas bintang Liga Perdana Inggeris, Aleksandr Mitrovic.
Mitrovic yang ketika itu menyarung jersi Fulham meluahkan kemarahannya terhadap Geraldes dalam insiden di luar permainan yang tidak sempat dirakam ketika perlawanan persahabatan menentang Estoril.
Bekas penyerang skuad The Cottagers itu menyergah Geraldes dan mencetuskan ketegangan apabila Mitrovic mengangkat tangan ke kerongkong pemain Estoril itu sebelum menolaknya.
Perlawanan persahabatan itu berakhir dengan kemenangan 3-1 memihak kepada Fulham dan dua jaringan diledak oleh Mitrovic. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram