BEKAS penyerang naturalisasi kebangsaan, Guilherme de Paula kini semakin hilang dari peta bola sepak Malaysia selepas kali terakhir dia dilihat mewakili Melaka FC dalam Liga M3 secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) musim lalu.
Namun, De Paula tidak menghabiskan perjalanan Liga M3 bersama Melaka meskipun dia tampil cemerlang dengan menjaringkan beberapa gol buat pasukan itu.
Misteri kehilangan De Paula masih belum diketahui apabila JDT turut tidak memuat naik sebarang perkembangan tentang pemain berusia 37 tahun itu.
Semasa mewakili skuad kebangsaan, De Paula sering menerima kecaman daripada penyokong Harimau Malaya apabila beraksi dengan sangat buruk meskipun memegang status pemain naturalisasi.
BACA LAGI: TMJ dedah JDT jimat 40%, 'ex' Kedah, Selangor mula jadi sebutan pengganti Forestieri
De Paula (tengah) musim lalu mewakili Melaka FC secara pinjaman dari JDT.
Bersama skuad kebangsaan, De Paula berjaya menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti ketika berdepan Vietnam dan Brunei.
Tetapi adakah anda tahu kenapa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berminat untuk menaturalisasikan De Paula selepas dia cukup tempoh beraksi di negara ini?
Ia kerana De Paula pernah beraksi cemerlang bersama Selangor FC dan Kuala Lumpur City semasa dia masih bergelar pemain import.
Bersama Selangor pada 2015, De Paula berjaya membantu Gergasi Merah menjuarai Piala Malaysia sekali gus melengkapkan kejuaraan ke-33 buat pasukan itu.
Aksi larian dan tendangan roket De Paula ketika itu persis bintang Portugal, Cristiano Ronaldo sehingga berjaya memikat hati penyokong-penyokong Selangor.
Selepas tidak disambung kontrak oleh pihak pengurusan Gergasi Merah, De Paula berkelana ke Eropah dan kembali ke Liga M bersama PDRM FC sebelum mengukir nama dengan KL City pada 2017.
Dalam 57 penampilan bersama The City Boys, De Paula atau lebih dikenali sebagai 'Wak Doyok' itu berjaya menjaringkan 66 gol dan membantu KL City menjuarai Liga Perdana.
Kini nama De Paula semakin dilupai ramai tatkala pasukan kebangsaan terus cemerlang di persada antarabangsa bersama Kim Pan-gon.
Adakah De Paula akan menggantung but selepas tidak mendapat tempat dalam mana-mana pasukan Liga M? Tak mustahil dia mungkin memilih untuk pulang ke Brazil dan beraksi di divisyen liga bawahan negara kelahirannya itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram