Gaya 'siuu' naik level Sanusi, aksi YB Badd kena saiko ceriakan fans Kedah


  • Podium
  • Isnin, 08 Jan 2024

Baddrol (kiri) dan Sansuri merupakan antara yang hadir memeriahkan aksi di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah pada Sabtu itu. — Facebook/Arena HijauKuning

DALAM usaha mendekatkan lagi sukan bola sepak dengan orang ramai, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengadakan aksi bola sepak persahabatan pada Sabtu lalu.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah itu menyaksikan pertembungan antara Gacor FC yang dibarisi artis dan selebriti tempatan berdepan pasukan pilihan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor.

Antara yang hadir memeriahkan perlawanan tersebut ialah bekas kapten Kedah FA, Baddrol Bakhtiar serta bek kanan Sabah FC, Rizal Ghazali yang sememangnya mempunyai hubungan baik dengan penyokong di negeri tersebut.

Bagi Gacor FC pula, nama-nama yang berada dalam senarai ialah duo pelawak terkenal dari kumpulan Bocey, Achey dan Fad serta bekas peserta Akademi Fantasia (AF), Zahid.

Perlawanan itu disaksikan ratusan peminat bola sepak yang pastinya tidak mahu melepaskan peluang menonton persembahan daripada kedua-dua pasukan tersebut.

Sambutan gol Sanusi buatkan ramai penonton tak kering gusi dengan telatah Menteri Besar Kedah itu.

Kehadiran mereka sememangnya membawa momen cukup menarik dengan sepakan penalti Sanusi merupakan salah satu daripada detik cukup menarik sempat dirakam.

Dia yang dikenali dengan kebolehan bermain bola sepak kelihatan tenang meskipun terdapat percubaan dari Achey untuk mengganggu fokusnya di dalam kotak penalti.

Jadi, tidak hairanlah apabila Menteri Besar Kedah itu mudah menyempurnakan tendangannya sebelum melakukan keraian 'siuu' seakan-akan legenda bola sepak antarabangsa, Cristiano Ronaldo walaupun beliau sebelum ini sering dikaitkan dengan bintang Argentina Lionel Messi sehingga menerima gelaran 'Lionel Nussi' kerana kebolehannya mengelecek bola.

Sambutannya itu turut disertai Baddrol dan Rizal yang masing-masing berpuas hati dengan peluang beraksi di hadapan peminat bola sepak di Kedah.

Antara momen lain yang juga sempat dirakam ketika perlawanan itu adalah apabila Baddrol turut diganggu pemain Gacor FC ketika cuba mengambil sepakan penalti.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dia lipat cheq oi', aksi sepakan gunting Sanusi buat fans JDT 'makan hati'

Dalam klip yang kini dikongsikan di media sosial itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun itu diberikan tekanan apabila lima pemain lawan kelihatan menari-nari di hadapannya.

Kelakuan tersebut membuatkan orang ramai tidak kering gusi sementara Baddrol tampak tenang dalam usahanya menyempurnakan tendangan berkenaan.

Keputusan akhir daripada perlawanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan seri 3-3 dengan penonton pastinya mahu aksi sebegitu dapat diadakan dengan kerap bagi membolehkan mereka menyaksikan ikon kesayangan masing-masing secara dekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram