TIDAK dinafikan ketika ini tumpuan penyokong bola sepak tanah air banyak dihidang dengan perkembangan skuad kebangsaan yang kini sedang bertarung di bumi Qatar bagi saingan Piala Asia 2023.
Walaupun begitu, ia tidak menghalang daripada khabar angin perpindahan pemain terus menjadi topik sampingan penyokong dengan hampir semua penyokong ingin mengetahui perkembangan terkini kelab kegemaran.
Setiap musim jendela perpindahan berlangsung, calon pemain berstatus ejen bebas akan menjadi buruan kelab kerana status mereka yang tidak terikat dengan mana-mana kelab dan menjadikan kelompok itu mudah didekati.
Posisi tonggak tengah antara bahagian yang akan diberikan perhatian kelab kerana ia merupakan nadi untuk menggerakkan permainan dan dari situ jugalah akan menentukan corak permainan ataupun identiti pasukan.
Walaupun banyak pilihan pemain tengah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) namun tidak semua boleh 'dipinang' sesuka hati, disebabkan itu bintang berstatus ejen bebas akan menjadi pujaan para penyokong dan kelab.
Melihat kepada pasaran semasa pemain, Majoriti menyenaraikan tiga pemain berstatus ejen bebas yang boleh disambar dan seterusnya berkhidmat untuk kelab pada aksi Liga M nanti;
1) Habib Haroon
Habib merupakan salah seorang import yang cukup berpengaruh selepas tiga musim bersama skuad Sang Penyu. — Facebook/TFC
Kemampuan pemain kelahiran Bahrain, Habib Haroon untuk beraksi sebagai pemain tengah bertahan dan mempunyai pengalaman di saingan domestik merupakan satu kelebihan yang perlu diberi perhatian oleh kelab Liga Super lain.
Malah, usianya yang baru menjangkau 23 tahun juga boleh menjadi faktor kelab Liga Super memburu khidmatnya kerana pemain berkenaan boleh dijadikan sebagai aset jangka masa panjang pasukan.
Selepas hampir tiga tahun menjadi 'anchor' Terengganu FC (TFC), Habib sudah mengesahkan bahawa ikatannya bersama Terengganu tidak akan diteruskan pada saingan Liga M musim 2023/25.
Habib yang memulakan kariernya di Terengganu pada musim 2021 itu merupakan antara watak penting membawa skuad Penyu ke pentas akhir Piala FA pada 2022 dan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023.
Meskipun, belum memutuskan lagi destinasinya pada musim ini, Habib banyak dikaitkan dengan perpindahan ke Kedah Darul Aman (KDA) FC dan kehadirannya boleh menggantikan tempat Amirbek Dzhuraboev yang baru meninggalkan kelab Utara tanah air itu.
2) Akram Mahinan
Masa depan Akram dalam Liga Super masih belum terjawab selepas dia meninggalkan KL City FC. — Facebook/Kuala Lumpur City
Akram Mahinan boleh digelar sebagai salah seorang pemain terbaik yang pernah menyarung jersi Kuala Lumpur (KL) City FC apabila dia menjadi watak penting ketika kejayaan pasukan dalam Piala Malaysia 2021 serta kemaraan ke pentas akhir Piala AFC 2022.
Namun, selepas empat musim menjadi enjin utama skuad The City Boys, pemain berusia 30 tahun itu mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan pasukan dengan jolokan Warga Kota itu pada musim ini.
Tidak lama selepas meninggalkan pasukan Lembah Klang berkenaan, Akram dikhabarkan sedang dikaitkan dengan perpindahan ke Terengganu FC (TFC) yang sudah menunjukkan minat sejak setahun lalu.
Oleh itu, kehadiran Akram juga boleh membantu skuad Sang Penyu untuk menambah baik prestasi dan menjadi penyembuh duka penyokong Terengganu yang baru sahaja kehilangan Habib di bahagian pemain tengah bertahan.
Bagaimanapun, dengan pihak pengurusan Terengganu dan Akram tidak memberikan sebarang kenyataan berhubungan perpindahan berkenaan, masih terdapat ruang buat kelab lain merekrut pemain itu.
3) Leonardo Rolon
Rolon mencetak lima jaringan gol dalam 15 penampilan bersama Kelantan.
Bekas pemain versatil Kelantan FC, Leonardo Rolon boleh menjadi sasaran import pasukan yang ingin mencari pemain dengan bajet kecil namun mempunyai pengalaman bersama beberapa kelab ternama.
Pemain kelahiran Argentina itu disebut sebagai tonggak versatil kerana dia yang boleh beraksi sebagai pemain sayap, penyerang dan bek kanan bersama bekas pasukan lamanya sebelum ini.
Rolon hadir ke Kelantan pada awal musim 2023 dengan reputasi tersendiri apabila pernah beraksi bersama beberapa pasukan terkemuka di Eropah, antaranya ialah Red Star dan AZ Alkmaar.
Malah, pemain berusia 28 tahun itu turut pernah beraksi bersama rakan sepasukan Cristiano Ronaldo di Al-Nassr, Agustin Rossi yang kini menyertai gergasi Arab Saudi itu pada bulan lalu.
Harga pasarannya yang bernilai €75k (RM382,000) itu boleh menjadi sasaran kelab dengan bajet sedikit seperti Perak FC dan Kelantan United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram