[VIDEO] Fans cilik kelab EPL buat hal, sengaja rai gol depan penyokong lawan


  • Podium
  • Ahad, 24 Dis 2023

Tangkap layar memaparkan penyokong muda itu berlari ke arah penonton lawan selepas menyempurnakan penalti.

SEORANG penyokong cilik kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Crystal Palace mencuri tumpuan ketika diberikan peluang menyertai satu segmen khas pada separuh masa berdepan Brighton & Hove Albion pada Jumaat.

Kedua-dua pasukan yang boleh dianggap seteru antara satu sama lain berdepan dalam satu aksi di Selhurst Park, London dengan Palace merupakan tuan rumah.

Mereka yang berada di hadapan pada separuh masa pertama memberikan peluang kepada penonton untuk mengambil sepakan penalti berdepan maskot pasukan, Alice Si Helang.

Bagaimanapun, momen cukup menarik direkodkan selepas penyokong itu menyempurnakan penalti apabila dia bertindak meraikannya di hadapan penyokong lawan.

Tindakannya itu jelas menerima respons menarik daripada peminat skuad The Seagulls yang seakan-akan mengejeknya atas keraian terbabit.

Namun, ia tidak terhenti di situ apabila penonton cilik berkenaan memberikan isyarat senyap terhadap penyokong lawan yang sememangnya cukup sinonim dalam landskap bola sepak England.

Kelakuan penyokong muda skuad The Eagles itu sememangnya berniat mengusik dengan Crystal Palace ketika itu sedang berada di hadapan menerusi jaringan lewat Jordan Ayew.

Bagaimanapun, hasrat anak-anak buah Roy Hodgson untuk meraih kemenangan tidak kesampaian apabila penyerang Brighton & Hove Albion, Danny Welbeck menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-82.

Keputusan akhir itu menyaksikan Crystal Palace kini berada di tangga ke-15 EPL sementara skuad kendalian Roberto de Zerbi menduduki tangga kesembilan selepas 18 perlawanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram