SETAKAT ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah mengumumkan kehadiran dua pemain baharu yang pastinya dapat merealisasikan cita-cita mereka untuk beraksi lebih baik dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elit musim depan.
Dua rekrut baharu tersebut ialah Jalil Elias dan Francisco 'Chico' Geraldes yang masing-masing merupakan pemain tengah dengan pengalaman cukup bernilai.
Tumpuan pastinya diberikan kepada Jalil memandangkan dia merupakan kapten buat pasukan lamanya, San Lorenzo yang beraksi dalam liga utama Argentina untuk beberapa musim.
Selain itu, pemain berusia 27 tahun tersebut juga mempunyai keistimewaan sendiri apabila dia merupakan pemain warisan buat pasukan Syria berdasarkan susur galur keluarganya.
Status tersebut menyaksikannya diberikan peluang bersama negara Timur Tengah dalam saingan Piala Asia kali ini dengan ia merupakan debut buatnya di pentas antarabangsa.
Irvine menghukum kesilapan benteng pertahanan Syria dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Asia 2023.
BACA LAGI: Jalil Elias tiba di JDT, bakal jadi pengubat rindu terhadap Leandro
Bagaimanapun, harapannya untuk menabur bakti buat skuad kendalian Hector Cuper seperti tidak mencapai tahap dimahukan apabila Syria kini berada di tangga ketiga Kumpulan E.
Hal itu dapat disaksikan dalam perlawanan kedua Kumpulan B antara Syria dan Australia dengan kegagalan Jalil mengawal bola memberi peluang buat pemain tengah lawan, Jackson Irvine menjaringkan gol.
Berdasarkan ulang tayang, pemain baharu JDT itu berada dalam kotak penalti sendiri ketika pasukan lawan melancarkan serangan dengan dia ketika itu berhampiran Irvine.
Namun, serangan pantas daripada anak-anak buah Graham Arnold menyebabkan Jalil gagal membuang bola daripada zon berbahaya sebelum tonggak Australia itu mudah menewaskan penjaga gol Syria, Ahmad Madania.
Jaringan tersebut jelas meranapkan semangat rakan sepasukan Jalil dalam perlawanan itu apabila mereka tewas 0-1 meskipun beberapa percubaan cuba dilancarkan.
Jalil hadir dengan reputasi cukup baik buat skuad Harimau Selatan kerana berdasarkan laman sesawang transfermarkt, dia merupakan pemain termahal dalam sejarah Liga Super dengan nilainya mencecah RM15.4 juta (€3 juta).
Kemasukannya membuktikan JDT mempunyai misi cukup besar dalam ACL Elit musim depan memandangkan kemaraan mereka di pentas Asia hanya sehingga peringkat kumpulan.
Selain pernah beraksi bersama San Lorenzo, Jalil juga pernah menyertai beberapa kelab Argentina yang lain seperti Newell's Old Boys serta Godoy Cruz. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram