Jalil Elias tiba di JDT, bakal jadi pengubat rindu terhadap Leandro


  • Podium
  • Rabu, 03 Jan 2024

Jalil hadir dengan reputasi cukup baik selepas menempa namanya sebagai salah seorang pemain tengah terbaik dalam Liga Argentina.

JOHOR Darul Takzim (JDT) pada Rabu mengumumkan pemain baharu pertama mereka untuk musim 2024/25 apabila sudah sah menandatangani pemain kelahiran Argentina, Jalil Elias.

Bekas kapten San Lorenzo FC itu sebelum ini sudah kelihatan beberapa kali terlibat secara dekat dengan juara Liga Super 10 kali berturut-turut tersebut, termasuk ketika menyaksikan aksi secara langsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Melihat kepada rekod terdahulu, pemain berusia 27 tahun berkenaan mempunyai kualiti untuk membawa skuad Harimau Selatan ke tahap lebih baik.

Perkara itu pastinya dimahukan pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris dalam menempa nama pasukan di persada bola sepak Asia.

Nilai pasarannya yang mencecah RM15 juta (€3 juta) juga akan meningkatkan lagi nilai pasukan, sekali gus selari dengan sasaran pihak pengurusan.

images

Leandro tidak akan lagi berkhidmat buat skuad Harimau Selatan musim depan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

BACA LAGI: Esteban Solari mahu Akhyar Rashid kekal, mungkin buru 4 bintang import baharu

Di atas padang pula, kualiti dimiliki Jalil membolehkannya mengawal permainan pasukan kerana peranan sebegitu boleh dianggap sukar untuk dipikul.

Selain mampu memberi kesan terhadap tempo pasukan, statistiknya bersama San Lorenzo musim lalu turut membolehkannya menjadi perancang memandangkan kehilangan Leandro Velazquez sukar dicari pengganti.

Leandro sebelum ini dilaporkan tidak akan beraksi buat JDT pada 2024 akibat kecederaan dialaminya pada pertengahan musim yang sekali gus menyaksikannya tersisih.

Jadi, sekiranya Jalil mampu mengulangi kualiti dipamerkan rakan senegeranya di atas padang, tiada sebab untuk penyokong skuad Harimau Selatan daripada terus memberikan suntikan semangat buatnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram