‘Tak perlu tunggu Liga Super start’, fans JDT boleh nilai sendiri hebat ke tak Jalil Elias di pentas Piala Asia


  • Podium
  • Khamis, 04 Jan 2024

Jalil Elias merupakan rekrut terbaharu JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KEHADIRAN Jalil Elias sebagai pemain baharu Johor Darul Ta'zim (JDT) pastinya membuatkan ramai penyokong Harimau Selatan teruja.

Mana tidaknya, dengan kehadiran Elias, dia terus dijulang sebagai pemain import termahal di Liga Super dengan harganya dinilaikan hingga mencecah RM15 juta.

Dengan adanya Elias, pastinya penyokong JDT akan begitu teruja untuk melihat aksinya di padang. Tetapi, untuk menyaksikan persembahannya di Liga Super ia akan mengambil sedikit masa kerana liga hanya akan bermula pada bulan Mei.

Mujurlah, aksi Elias di padang boleh dilihat dengan pemain itu turut akan menyertai rakan-rakan baharunya di JDT seperti Arif Aiman, Syihan Hazmi dan Jordi Amat apabila dia turut beraksi di Piala Asia.

GC4vJUdX0AAFyUw

Jalil Elias dipanggil buat pertama kali menyertai skuad Syria. — X/AlterFutbol

Hal ini kerana, Elias akan mewakili Syria di Piala Asia dan menjadi sebahagian daripada pemain tengah yang dipanggil oleh jurulatih Hector Cuper di samping Ibrahim Hesar serta Ezequiel Ham. Sebagai rekod, Piala Asia 2023 adalah pertandingan antarabangsa pertama disertai Elias sejak dinaturalisasikan sebagai pemain Syria.

Lebih menarik, sebelum mula bertarung secara kompetitif di Piala Asia, Elias akan berdepan rakan-rakan baharunya di JDT apabila Syria bertemu Malaysia dalam aksi persahabatan pada 8 Januari.

BACA LAGI: [VIDEO] Selain disambut baik penyokong JDT, bintang Man United tumpang 'like' kehadiran Jalil Elias

Selepas itu, Elias akan cuba membantu Syria melepasi cabaran Uzbekistan, India dan Australia dalam aksi kumpulan B.

Pentas Piala Asia adalah kejohanan terdekat untuk kesemua peminat JDT melihat kehebatan Elias. Dari persembahannya di Qatar, mereka boleh menduga bagaimanakah corak permainannya dan kesannya kepada persembahan JDT pada musim ini di bawah kendalian Hector Bidoglio.

Selain itu, ia juga boleh memberikan gambaran awal sama ada Elias adalah salah satu pembelian yang berbaloi untuk Harimau Selatan atau sebaliknya berpotensi untuk menjadi flop.

Elias dan Syria akan memulakan cabaran Piala Asia dengan berdepan Uzbekistan pada 14 Januari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram