HARAPAN pemilik Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar untuk mengubah pasukan itu menjadi pencabar musim ini tidak kesampaian berikutan isu tunggakan gaji dialami mereka.
Masalah itu menyaksikan mereka terpaksa menelan realiti pahit kerana gagal menempah slot ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 musim depan setelah hanya berada di tangga keempat.
Bagaimanapun, kedudukan itu masih boleh dianggap sebagai satu perubahan positif berbanding musim sebelum apabila skuad Sang Kenari hanya berada di tempat kelapan.
Selain itu, sikap keterbukaan usahawan tanah air berkenaan untuk menjelaskan situasi sebenar membuatkan rata-rata penyokong masih memberikan sokongan tidak putus buatnya.
Jadi, dalam usaha merealisasikan hasrat membawa KDA FC ke tahap lebih tinggi, pelbagai inisiatif dan usaha pastinya dilancarkan dengan menarik lebih banyak peluang penajaan.
BACA LAGI: ‘Satu Kedah tahu’, legenda Sang Kenari dedah Daud Bakar sedang fix isu dalaman
Skuad Sang Kenari menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga keempat. — Facebook/KDA FC
Langkah berkenaan seakan-akan sudah diambil Daud Bakar tanpa pengetahuan umum apabila satu hantaran di Facebook GTR Burger memberi bayangan bahawa satu cawangan perniagaan akan dibuka di Stadium Darul Aman, Kedah musim depan.
Dalam hantaran tersebut, pemilik jenama makanan segera itu, Nordin Mat kelihatan bertemu Daud Bakar di sebuah restoran sambil ditemani dua individu lain.
“Kami harap GTR Burger bukan sekadar menaja untuk menjual burger di stadium ketika perlawanan sahaja, tapi kami mahu kita wujudkan peluang perniagaan jalanan yang kamu telah berjaya ubah secara digital ini lebih meluas di Utara sana.
"Kita akan membina jenama ini bersama sama. Selamat datang ke Kedah Darul Aman, pastikan usaha sama ini menjadi kenyataan!” Itu kata kata akhir dari Tan Sri mengakhiri pertemuan kami tadi (Khamis), Syukur Alhamdulillah," tulisnya.
Nordin (depan, kanan) bertemu Daud Bakar (depan, kiri) di sebuah restoran baru-baru ini. — Facebook/GTR Burger
Sebelum ini, Nordin pernah memberikan bayangan mengenai keterbukaannya untuk menaja sebuah kelab Liga Super kerana minatnya dalam sukan itu mendorongnya untuk menjadi seorang pemilik.
KDA FC yang pastinya terbuka dalam membawa masuk penaja baharu boleh dikatakan sebagai langkah awal terbaik buat GTR Burger dengan jenama tersebut sudah semakin dikenali di seluruh negara.
Jelasnya, pertemuan berkenaan turut memberi peluang buat mereka mencari jalan dalam membangunkan program keusahawanan demi meningkatkan peluang pekerjaan di Negeri Jelapang Padi itu.
"Malam ini (Khamis), kami bertemu dan berbincang secara serius cadangan yang boleh membantu kedua-dua pihak dalam jangka panjang terutamanya pembangunan usahawan anak-anak Kedah melalui program GTR Burger juga," tulisnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram