KEDAH Darul Aman (KDA) FC bakal menerima tonik terbaik menjelang pertemuan dengan pasukan KL City FC pada perlawanan kesembilan Liga Super pada Selasa malam.
Ia susulan perkhabaran dikongsikan pemilik pasukan itu, Tan Sri Mohd Daud Bakar yang akan hadir ke Stadium Darul Aman bagi menyaksikan perlawanan tersebut.
KDA FC yang sebelum ini berduka atas kekalahan memalukan 0-6 di tangan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) nyata telah meruntuhkan momentum keseluruhan pasukan selain kepercayaan penyokong Hijau Kuning juga dikatakan semakin goyah terhadap pasukan itu.
Justeru, bagi meningkatkan semula keyakinan dan semangat melawan berpasukan, anak-anak buah Nafuzi Zain bakal menerima kunjungan dan kata-kata semangat daripada pemiliknya yang akan terbang ke Stadium Darul Aman petang nanti.
Berkongsi perkara itu di laman instagram peribadinya, beliau berkata, beberapa siri mesyuarat akan turut dihadirinya sebelum akan bersama para pemain dan barisan kejurulatihan di stadium.
Mohd Daud Bakar akan hadir ke Stadium Darul Aman bagi menyaksikan perlawanan antara Kedah FC dan KL City FC. — Instagram/Mohd Daud Bakar
"Saya akan terbang ke Alor Setar tengah hari ini (Selasa) untuk bersama Sang Kenari menentang KL City.
"Saya ada beberapa siri mesyuarat di sebelah petang sebelum bersama pemain dan barisan kejurulatihan dalam sesi taklimat di sebelah penghujung petang.
"Kemudian, saya akan membawa pemilik dan pihak pengurusan KL City untuk berbuka puasa gulai ikan jenahak istimewa.
Tambahnya, KL City merupakan sebuah pasukan yang meningkat naik dan pastinya ia satu perlawanan mendebarkan untuk disaksikan.
Akur dengan kekalahan pasukannya ke atas JDT pada minggu lalu, Mohd Daud menganggap keputusan itu sebagai pengajaran dan kesilapan yang perlu dijadikan pengajaran di masa akan datang.
"Saya percaya semua orang lakukan kesilapan dalam kehidupan dan orang yang gagal akan sentiasa melakukan kesilapan. Orang yang berjaya pula adalah orang yang menjadikan kesilapan sebagai pengajaran.
"Semoga KDA FC sudah mengenal pasti kesilapan dan belajar dengan penuh keinsafan dan ketelusan.
"Setiap orang perlukan galakan dan dorongan jadi sebagai penyokong, kita beri yang terbaik supaya Sang Kenari dapat berikan yang terbaik," ujarnya.
Menyeru penyokong untuk hadir memberikan sorakan gemuruh buat pasukan Kedah di stadium, beliau optimis pasukannya mampu mempamerkan kebangkitan dan menang dalam perlawanan itu kelak.
Pasukan Kedah kini berkongsi 16 mata dengan Sri Pahang FC di kedudukan keempat carta liga musim ini dan sekiranya berjaya meraih tiga mata penuh dalam pertemuan malam nanti, Sang Kenari berpeluang untuk melonjak ke tangga kedua liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram