‘Satu Kedah tahu’, legenda Sang Kenari dedah Daud Bakar sedang fix isu dalaman


  • Podium
  • Ahad, 08 Okt 2023

KDA FC tewas di tangan Kuching City FC dalam aksi suku akhir MFL Challenge Cup. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC sah terlepas semua trofi musim ini apabila dikejutkan dengan kekalahan 3-0 kepada Kuching City di laman sendiri dalam saingan suku akhir kedua Challenge Cup pada Rabu lalu.

Kekalahan itu jelas membangkitkan kemarahan penyokong Sang Kenari selepas menyangka bahawa KDA FC setidaknya berhasil merangkul trofi kejohanan tersebut kerana gagal mendapatkan kejuaraan lain seperti Piala Malaysia dan Piala FA.

Perjuangan Piala Malaysia Kedah terhenti pada pusingan ke-16 terbaik yang mana Sang Kenari dimalukan di tangan Perak FC selepas tewas 3-4 secara agregat kepada The Bos Gaurus (TBG).

Untuk saingan Piala FA pula, pasukan Sang Kenari tersungkur di pusingan pertama kejohanan tersebut apabila skuad Hijau Kuning itu tewas 3-4 kepada Penang (PFC) melalui penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2.

Prestasi merudum yang menimpa Kedah itu dikaitkan dengan masalah dalaman iaitu isu tunggakan yang semakin hari semakin hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong kelab berpangkalan Utara tanah air berkenaan.

kedah kuching

Aksi ketika KDA FC menentang Kuching City pada Rabu. — Facebook/KuchingCity

Meskipun sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Khamal Idris Ali enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai isu kontroversi yang menimpa kem KDA FC namun hakikatnya penyokong ada cerita berbeza.

Bukan hanya penyokong, malah bekas jurulatih KDA FC, Azraai Khor Abdullah juga mendengar perkara sama dan dia menzahirkan kekesalannya sekiranya isu gaji masih mengganggu skuad Hijau Kuning.

"Satu Kedah tahu ada masalah gaji. Dalam kalangan penyokong dah cakap-cakap pasal benda itu (masalah gaji). Dah terang lagi bersuluh. Dan pemain-pemain pun ada yang dah confirm kan bahawa mereka ada masalah gaji.

"Seandainya masalah gaji berlaku, ia amat-amat dikesali kerana kelab kita dah swasta, profesional. Jadi tidak sepatutnya isu gaji jadi punca pasukan kalah. Ia sangat-sangat memalukan," katanya kepada Majoriti yang turut mendengar khabar angin berkenaan.

Azraai bagaimanapun menegaskan bahawa beliau turut mendengar pemilik Kedah, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar difahamkan sedang berusaha menyelesaikan isu dalaman tersebut daripada semakin melarat.

daud bakar

Daud Bakar difahamkan sedang berusaha menyelesaikan isu dalaman itu. — Facebook/KDAFC

Bekas pengendali Perak itu optimis bahawa pihak pengurusan Sang Kenari yang diketuai Daud Bakar mampu menyelesaikan perkara berkenaan dan boleh mengembalikan Kedah seperti zaman kegemilangan mereka.

"Sumber saya beritahu bahawa Tan Sri kini sedang berusaha untuk mengatasi perkara tersebut (masalah gaji). Kita percaya bahawa pihak pengurusan tak berpeluk tubuh untuk mengatasi isu tersebut.

"Apa yang dirisaukan apabila ada pemain import ambil tindakan laporkan kepada FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), memang Kedah akan jadi macam Kelantan dan Melaka," jelasnya.

Ramai penyokong masih menunggu kenyataan rasmi daripada pihak kelab mahupun Daud Bakar mengenai isu tunggakan gaji berkenaan dan sekali gus menjawab persoalan sama ada penaja utama KDA FC, Bin Zayed International sudah menarik diri.

Tidak dapat dinafikan masalah gaji akan mengganggu prestasi pemain namun Sang Kenari masih perlu merebut naib juara untuk saingan Liga Super dengan mereka hanya dibezakan lima daripada Selangor yang kini berada di kedudukan kedua dengan 52 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram