KEKALAHAN 0-4 dialami skuad kebangsaan ketika berdepan Jordan sememangnya memberi satu tamparan cukup hebat buat barisan pemain dan staf kejurulatihan pasukan.
Perasaan itu diburukkan lagi dengan tekanan diberikan segelintir penyokong di media sosial yang mengkritik gaya permainan Harimau Malaya dalam aksi di Stadium Al-Janoub, Qatar pada Selasa lalu.
Namun, ia bukanlah alasan buat pemain negara untuk terus bersedih akan keputusan mengecewakan itu memandangkan masih terdapat dua aksi Kumpulan E masih perlu ditempuhi.
Tumpuan pastinya diberikan terhadap perlawanan menentang Bahrain pada Sabtu memandangkan jurang kedua-dua pasukan tidaklah begitu besar yang memberi kepercayaan buat anak-anak buah Kim Pan-gon.
Pasukan yang dikendalikan Juan Antonio Pizzi turut mengalami kekalahan 1-3 dalam aksi pembukaan menentang Korea Selatan dengan keputusan itu meletakkan mereka di tangga ketiga.
Jadi, kemenangan perlu direkodkan skuad kebangsaan dalam pertemuan itu sekiranya mereka mahu melayakkan diri ke pusingan seterusnya meskipun memahami tekanan dihadapi mereka.
BACA LAGI: Sentiasa dahaga cetak gol, Darren Lok impi ledak jaringan berdepan Bahrain
Bahrain berputih mata selepas tewas kepada Korea Selatan. — Agensi
BACA LAGI: Sentiasa dahaga cetak gol, Darren Lok impi ledak jaringan berdepan Bahrain
Bagaimanapun, bagi penyerang negara, Darren Lok, persiapan terbaik sudah dilakukan kerana pasukan kebangsaan mahu mencatatkan keputusan lebih baik.
"Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini. Kami perlu meraih tiga mata penuh untuk membuka peluang ke peringkat 16 pasukan terbaik.
"Kekalahan kepada Jordan sememangnya meningkatkan lagi tekanan terhadap kami, tetapi pemain sudah bersedia untuk memperbetulkan segala kesalahan sebelum ini," katanya.
Dalam aksi menentang Jordan, Darren hanya beraksi selama 45 minit sebelum dikeluarkan untuk memberi minit permainan buat bek tengah negara, Shahrul Saad.
Keputusan Pan-gon mengeluarkannya boleh dikatakan berpunca daripada kesukaran penyerang berusia 33 tahun itu untuk memberi impak dengan tiada percubaan ke arah pintu gol direkodkannya.
"Saya tahu ia bukanlah satu perlawanan yang mudah kerana Bahrain adalah lawan yang hebat seperti Jordan. Tetapi, kami perlu terus percaya pada kemampuan sendiri.
"Kami juga faham bahawa harapan tinggi diletakkan di bahu kami, tetapi kami sudah lebih bersedia. Ia merupakan satu tugas yang berat dan saya akan terus memikulnya sebaik mungkin," katanya lagi. — The Star/T AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram