Lupakan kekalahan pahit aksi pertama, Stuart Wilkin pesan jangan ulang silap sama bertemu Bahrain


  • Podium
  • Jumaat, 19 Jan 2024

Wilkin ketika aksi menentang Jordan pada Selasa. — Facebook/FAM

TONGGAK tengah pasukan bola sepak negara, Stuart Wilkin memberi pesanan agar rakan sepasukannya tidak melakukan kesilapan pertahanan yang sama apabila menentang Bahrain dalam perlawanan penentuan kedua Kumpulan E di Stadium Jassim Bin Hamad di Doha, Qatar pada Sabtu.

Malaysia tewas 4-0 kepada Jordan pada Isnin dalam aksi pembukaan Piala Asia mereka dan kekalahan berkenaan boleh menghancurkan impian untuk mara ke peringkat kalah mati (16 terakhir).

Sekiranya Harimau Malaya dapat mengatasi Bahrain, peluang untuk mara ke peringkat seterusnya semakin cerah.

Namun, cabaran sengit menanti Bahrain yang berada di kedudukan ke-86 dunia dan pasukan berkenaan turut memburu kemenangan pertama mereka selepas tewas 1-3 kepada Korea Selatan pada Isnin.

Wilkin berkata, tidak kira betapa sukarnya tugas yang dihadapi, Harimau Malaya tidak boleh berputus asa lebih awal dan mesti menunjukkan belang sebenar mereka dalam pertembungan nanti.

BACA LAGI: [VIDEO] Gugurkan Morales, masukkan Badak antara 4 perubahan yang boleh dibuat Pan-gon ketika jumpa Bahrain

WhatsApp Image 2024-01-19 at 10.34.54-2

Wilkin bersama rakan sepasukan menjelang aksi menentang Bahrain pada Sabtu. — Facebook/FAM

“Kami perlu melupakan kekalahan kepada Jordan. Kami mengalami beberapa hari pemulihan yang baik selepas kekalahan yang menyakitkan itu.

“Memang benar kelemahan kami didedahkan ketika menentang Jordan dan kami perlu mengambil kira isu ini supaya ia tidak berulang.

“Jordan menggunakan pengalaman yang mereka ada untuk menewaskan kami. Mereka memanfaatkan peluang yang datang pada separuh masa pertama untuk menjaringkan gol lebih awal.

“Kami belajar sesuatu daripada perlawanan itu untuk memastikan ia tidak akan berlaku lagi pada perlawanan seterusnya dengan Bahrain,” kata pemain keturunan Malaysia dan Inggeris itu.

Arkitek Sabah FC itu dilihat sebagai satu-satunya pemain kebangsaan yang menyerlah sepanjang pertembungan pembukaan menentang Jordan.

Pemain berusia 26 tahun berkenaan juga mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol dan menyumbang banyak hantaran tepat di pintu gawang Jordan.

Malaysia beraksi di Piala Asia secara merit buat kali pertama sejak 1980 tetapi merupakan antara pasukan tercorot dalam kejohanan itu.

Selepas Bahrain, pasukan nombor 130 dunia berkenaan perlu berdepan dengan Korea Selatan dengan skuad Taeguk Warriors itu akan diketuai bintang Tottenham Son Heung-min pada 25 Januari nanti. — The Star/LIM TEIK HUAT

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram