KEJAYAAN melangkah ke pentas Asia musim depan seperti masih belum cukup untuk Selangor FC apabila mereka kini sedang giat membuat perancangan rapi.
Manakan tidak, mereka yang kali terakhir beraksi di peringkat tertinggi buat pertama kali sejak lebih tujuh tahun lalu pastinya perlu melakukan pelbagai perubahan.
Selain membawa masuk pemain berkualiti, perancangan perlu dilakukan untuk menambah baik fasiliti serta kemudahan kelab setaraf dengan pasukan luar negara.
Bagaimanapun, adalah satu perkara sukar buat Selangor FC mencari jalan terbaik sekiranya mereka melakukan hal terbabit tanpa sebarang tunjuk ajar yang jelas.
BACA LAGI: [VIDEO] Selangor kekal dengan Alvin Fortes, tak jadi pancing 'striker' Turkiye
Apakah perkara yang giat dibincangkan ketika pertemuan tersebut?
Jadi, dalam usaha menimba ilmu, beberapa wakil daripada naib juara Liga Super 2023 itu tampil melakukan kunjungan ke sebuah kelab ternama di Thailand, BG Pathum United.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr Johan Kamal Hamidon serta Ketua Pegawai Operasi (COO), Aladdin Mostaffa merupakan antara yang hadir berdasarkan beberapa keping gambar tersebar di media sosial.
Kunjungan terbabit pastinya memberi pelbagai ilmu baharu buat skuad Gergasi Merah dengan pasukan Thailand itu kerap melayakkan diri ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) beberapa tahun kebelakangan ini.
Meskipun tidak didedahkan intipati serta perkara dibincangkan ketika pertemuan itu, beberapa spekulasi mula dibuat penyokong akan hal terbabit.
Jadi, Majoriti menyenaraikan tiga isu yang berkemungkinan menjadi topik utama yang dikupas dalam kunjungan santai antara Selangor FC dan BG Pathum United.
1. Tambah baik fasiliti pasukan
Ketika ini, Selangor FC boleh dianggap sebagai pasukan tempatan kedua terbaik dari segi fasiliti pasukan hanya di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT).
Gimnasium, padang latihan sendiri serta pusat rehabilitasi merupakan antara keperluan utama dimiliki pasukan Lembah Klang berkenaan.
Bagaimanapun, ia masih belum cukup untuk menjadikan mereka pesaing secara konsisten apabila pasukan lain masih mampu memberikan cabaran hebat terhadap mereka.
Selangor FC masih perlu menambah baik kualiti fasiliti kelab untuk musim depan.
Oleh itu, keputusan untuk menghantar CEO dan beberapa individu lain ke Thailand adalah cukup baik kerana mereka dapat melihat dengan sendiri kualiti kemudahan.
Meskipun ada yang mengatakan Selangor FC boleh mengikut jejak langkah JDT, perkara itu masih dilakukan dengan adanya wakil dihantar ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor bagi taklimat penjagaan venue anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Penambahan fasiliti lebih lengkap, termasuk penjagaan padang di stadium akan meningkatkan lagi reputasi skuad Gergasi Merah yang juga akan menaikkan nama bola sepak tanah air.
Selain itu, kelengkapan serba canggih juga diperlukan pasukan berkenaan dengan penggunaannya dapat menambah baik persembahan pemain.
2. Perpindahan pemain
Sehingga kini, skuad Gergasi Merah masih belum membuat sebarang perubahan terhadap pemain apabila tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak pengurusan.
Meskipun terdapat khabar angin mengatakan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu bakal kehilangan Ayron del Valle serta Richmond Boakye, keputusan Selangor FC untuk mendiamkan diri menimbulkan pelbagai persoalan.
Jadi, sekiranya pasukan itu mahu memulakan langkah, BG Pathum merupakan pilihan terbaik melihat kepada kualiti dan kuantiti pemain dimiliki.
Chanathip (tengah) bersama empat wakil Selangor FC yang berkunjung ke BG Pathum.
Hal itu dikuatkan apabila tular sekeping gambar menunjukkan tonggak skuad The Rabbits, Chanathip Songkrasin bersama-sama wakil Selangor FC.
Meskipun realitinya adalah sukar buat skuad Gergasi Merah mendapatkan pemain berkenaan, ia tidak menghalang sebahagian penyokong untuk memasang cita-cita menyaksikannya menyarung jersi itu musim depan.
Selain itu, terdapat beberapa pemain lain yang boleh disasarkan skuad Gergasi Merah, termasuk penyerang veteran, Teerasil Dangda serta import Singapura, Ikhsan Fandi yang mempunyai reputasi cukup baik.
Jadi, sekiranya Selangor FC dapat membawa masuk pemain BG Pathum United, mereka pastinya akan dapat bersaing dalam ACL2 mahupun domestik pada 2024.
3. Mentaliti beraksi di pentas Asia
Kali terakhir skuad Gergasi Merah beraksi dalam Piala AFC 2016 menyaksikan mereka terkandas di peringkat kumpulan meskipun hanya diundi di samping pasukan kurang dikenali.
Oleh itu, harapan lebih besar pastinya diletakkan penyokong untuk melihat pasukan Lembah Klang itu mara dengan jauh untuk kempen akan datang.
Meskipun masih belum dipastikan lawan yang akan dihadapi, format baharu menyediakan cabaran lebih besar kerana terdapat kemungkinan mereka berdepan kelab dari Korea Selatan mahupun Jepun.
BG Pathum ketika berdepan Urawa Reds dalam suku akhir ACL musim lalu. — Agensi
Jadi, untuk menimba ilmu dari aspek psikologi, Selangor FC pastinya mahu melihat kepakaran dimiliki BG Pathum United yang sudah cukup berpengalaman.
Berdasarkan rekod, skuad kendalian Makoto Teguramori pernah mencapai peringkat suku akhir ACL 2022 sebelum disingkirkan juara, Urawa Red Diamonds.
Pengalaman berharga itu pastinya dimahukan skuad Gergasi Merah yang tidak mahu menghampakan penyokong dalam kempen di pentas Asia kali ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram