Terlepas kasut emas Liga M, Bergson hanya ‘select’ gelaran dunia


  • Podium
  • Selasa, 09 Jan 2024

Bergson Da Silva menempa nama di peringkat antarabangsa bersama JDT bagi musim 2023.

SAINGAN Liga Super Malaysia 2023 menyaksikan import sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Bergson Da Silva gagal mempertahankan gelaran kasut emas dimenanginya pada tahun lalu.

Menerima tentangan sengit daripada penyerang Selangor, Ayron Del Valle berjaya mengesahkan kemenangan anugerah tersebut selepas mencatatkan sebanyak 23 gol berbanding Bergson (21) dan Fernando Forestieri (19).

Harimau Selatan yang dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut baru-baru ini, bagaimanapun terlepas untuk menambah trofi dalam simpanannya ekoran kegagalan Bergson Da Silva di tangan peledak Selangor tersebut.

Namun, jika dilihat secara keseluruhan, kegagalan itu bukanlah satu perkara yang besar susulan aksi penyerang kelahiran Brazil itu telah berjaya membuka mata pelbagai pihak khususnya pemerhati bola sepak di peringkat tertinggi.

Ditambah pula dengan status JDT selaku kelab berstatus 'elit' di Liga Malaysia (Liga M), ia serba sedikit menyumbang kepada pengenalan Bergson di mata dunia menerusi aksi di peringkat Asia dan sebagainya.

Berikut merupakan lima detik manis Bergson Da Silva apabila berjaya menerima penghargaan serta liputan meluas di persada antarabangsa bagi musim 2023.

12

1. Penjaring ke-12 terbanyak dunia 2023

Menerusi ranking yang dikeluarkan International Federation of Football History & Statistics (IFFHS), Bergson berada kini di kedudukan ke-12 dalam senarai Penjaring Lelaki Terbaik Dunia 2023.

Mengikut data yang dikeluarkan, penyerang kelahiran Brazil itu menjaringkan 39 gol secara keseluruhan sekali gus berjaya mengatasi beberapa nama besar dalam arena bola sepak seperti penyerang sensasi Liverpool, Mo Salah yang berada di kedudukan ke-17 (36).

Dalam pada itu, seorang lagi pemain ternama dunia, Lionel Messi yang juga pemenang Ballon d’Or 2023, jauh ketinggalan di kedudukan 52 dengan 28 gol.

acc

2. Penyerang terbaik ACL 2022

Penyerang versatil itu telah membantu Harimau Selatan menjadi juara Kumpulan I dan layak menempatkan pasukan ke pusingan 16 terbaik bagi kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim lalu.

Sepanjang kempen 2022, Bergson berjaya meledak enam gol, memenangi 34 perebutan bola di udara dan melakukan 20 percubaan ke arah gol.

Beliau juga berkongsi kedudukan, berada di tempat ketiga dalam senarai penjaring terbanyak dan berada di kedudukan pertama dalam undian penyerang terbaik ACL 2022 dengan mengumpul sebanyak 43 peratus undian.

Sembilan orang penyerang lain yang terpilih dalam senarai penyerang terbaik ialah Edmilson Junior (Al Duhail), Kasper Junker (Urawa Red Diamonds), Odion Ighalo (Al Hilal), Yacine Brahimi (Al Rayyan), Zeca (Daegu), Michael Olunga (Al Duhail), Ikhsan Fandi (BG Pathum), Yohan Boli (Rayyan) dan Yu Kobayashi (Kawasaki Frontale).

penjaring-700x438

3. Bergson da Silva tersenarai penjaring gol terbanyak dunia 2022

Musim 2022 boleh dianggap sebagai tahun terbaik buat penyerang itu apabila tampil unggul selaku penjaring terbanyak untuk saingan musim lalu.

Lebih menarik apabila namanya tersenarai dalam lima penjaring terbanyak dunia tahun ini menerusi sebuah laman sukan di Instagram iaitu ge.globo.

Secara keseluruhan, Bergson telah meledak 41 gol daripada 31 perlawanan dihadapi beliau bersama JDT bagi musim 2022.

Empat lagi pemain yang turut tersenarai ialah Kylian Mbappe, Erling Haaland, German Cano dan juga Lewandowski apabila masing-masing tampil dengan rekod jaringan memukau.

france

4. Liputan meluas di media Perancis

Media Perancis, '20 Minutes' telah berkongsi kejayaan Bergson yang mempunyai purata jaringan melebihi Kylian Mbappe, Erling Haaland dan Robert Lewandowski pada 2022.

Statistik itu terlebih dahulu dikongsi oleh laman Sky Sports Itali yang meletakkan penyerang berusia 32 tahun itu sebagai penjaring dengan purata jaringan tertinggi iaitu 1.27 gol untuk setiap perlawanan.

Ia sekali gus menjadikan Bergson mula mendapat perhatian media Eropah yang sebelum ini turut cemerlang membantu skuad Harimau Selatan meraih empat trofi kejuaraan domestik dan layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC.

Trio-JDT

5. Trio serangan terbaik atasi kelab antarabangsa

Gandingan Bergson Da Silva, Arif Aiman dan Fernando Forestieri selaku trio serangan hadapan merupakan antara senjata utama JDT bagi musin 2022/2023.

Kerap mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan dalam kejohanan peringkat domestik mahupun Asia, gandingan tersebut berjaya mengatasi trio kelab terkemuka Paris Saint Germain (PSG) iaitu Kylian Mbappe, Lionel Messi dan Neymar.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan laman transfermarkt.com, tiga penyerang JDT itu mendahului senarai penjaring terbanyak untuk musim 2022/2023 mengatasi beberapa kelab Eropah dan Amerika Latin seperti Manchester United, PSG dan Flamengo.

Bergson Da Silva merupakan peledak paling terunggul dengan 46 gol mengatasi Erling Haaland (45 gol), German Cano (44 gol) dan Kylian Mbappe (31). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram