[VIDEO] Selangor kekal dengan Alvin Fortes, tak jadi pancing 'striker' Turkiye


  • Podium
  • Isnin, 08 Jan 2024

Selangor tidak meneruskan perbincangan dengan Hummet (kiri) dan kekal bersama Fortes (kanan) untuk memperkuatkan pasukan musim depan.

HASRAT penyokong Selangor FC untuk melihat kelibat bekas penyerang skuad muda Turkiye, Deniz Hummet beraksi di bumi Darul Ehsan musim depan tidak kesampaian apabila pihak pengurusan kini beralih arah terhadap pemain lain.

Perkara tersebut dikongsikan oleh pemerhati bola sepak, T. Avineshwaran dalam laman X baru-baru ini yang mana sebelum itu juga dia yang menyalurkan maklumat berkenaan Hummet sedang diintai oleh pihak pengurusan Selangor.

"Deniz Hummet tidak akan menyertai Selangor kerana kelab itu mengalihkan perhatian kepada pemain lain."

Namun perbincangan Selangor bersama bekas pemain antarabangsa Cape Verde, Alvin Fortes masih lagi diteruskan selepas dia kini menjadi ejen bebas sejak November 2023 lalu.

"Perbincangan dengan Alvin Fortes sedang berjalan."

Status penjaring terbanyak Liga Super 2023, Ayron del Valle bersama Gergasi Merah masih belum ada pengumuman rasmi selepas dikhabarkan dia mendapat tawaran daripada beberapa pasukan di luar negara.

Untuk rekod, Hummet kini bergelar ejen bebas selepas dilepaskan oleh kelab Sweden, Kalmar FF kerana kurang mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama pasukan.

Pemain berusia 27 tahun itu merekodkan 92 jaringan dan 13 'assist' dalam 281 penampilan sejak bergelar pemain bola sepak pada 2013.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dua menang, satu kalah', lawan Harimau Malaya catat keputusan positif aksi pra Piala Asia 2023

Manakala, Fortes pula sebelum ini mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Thailand bersama beberapa kelab seperti Ratchaburi FC dan Nongbua Pitchaya FC.

Pemain berusia 29 tahun itu mungkin bakal menjadi bintang sayap kanan baharu skuad Gergasi Merah musim depan.

Namun rekod Fortes dalam Liga Thailand boleh dikatakan 'biasa-biasa' kerana hanya tampil dalam 35 perlawanan dan menjaringkan 11 gol serta lima 'assist' sejak Disember 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram