SELEPAS tujuh tahun beraksi buat skuad Harimau Selatan, pemain tengah negara, Nazmi Faiz Mansor dilihat bersedia untuk meninggalkan juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu.
Minit permainan yang terhad boleh dianggap sebagai faktor utama di sebalik perkara itu dengan pemain kelahiran Kuala Lumpur (KL) tersebut hanya beraksi sebanyak 10 kali bersama pasukan senior musim ini.
Walaupun tidak menyatakan hasratnya itu secara terbuka, beberapa klu di media sosial memberikan gambaran bahawa jeneral berusia 29 tahun berkenaan sudah bersedia untuk mencari majikan baharu.
Kehilangannya pasti akan dirindui Johor Darul Takzim (JDT) memandangkan misi baharu kelab menyatakan mereka berhasrat mengecilkan kos operasi musim depan.
Setakat ini, terdapat sekurang-kurangnya 10 pemain sudah dilepaskan dengan beberapa lain lagi difahamkan akan menuruti, baik secara kekal mahupun pinjaman.
Hantaran Insta Story Nazmi memberi gambaran mengenai keterbukaannya untuk meninggalkan JDT.
Oleh itu, tidak menimbulkan sebarang kejutan atau tanda tanya sekiranya Nazmi Faiz berada dalam senarai yang dilepaskan sebelum saingan musim akan datang bermula.
Berdasarkan khabar angin, perancang tengah itu dilaporkan sedang berada dalam radar Selangor FC yang mahu menguatkan lagi pasukan untuk saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 akan datang.
Selain itu, Terengganu FC dilaporkan berminat untuk mendapatkan Nazmi memandangkan pasukan tersebut tidak memiliki pemain tengah tempatan berpengalaman.
Namun, melihat kepada perbandingan, kedua-dua kelab terbabit bukanlah destinasi terbaik buatnya apabila dia lebih sesuai sekiranya menyertai Sri Pahang FC.
Meskipun terdapat kesangsian mengenai perkaitan antara Nazmi dan skuad Tok Gajah, Majoriti menyenaraikan tiga sebab utama pemain kebangsaan itu perlu menyertai kelab Pantai Timur terbabit.
1. Minit permainan lebih terjamin
Seperti dikatakan di atas, punca utama di sebalik kehendak Nazmi Faiz untuk meninggalkan JDT adalah kerana dia tidak dapat meraih minit permainan dengan kerap.
Jadi, pasukan yang bakal disertainya musim depan pastinya perlu menyediakan satu ruang buatnya beraksi dengan kerap dengan skuad senior.
Ketika ini, Selangor FC yang memiliki Brendan Gan, Noor al-Rawabdeh, Mukhairi Ajmal dan Yohandry Orozco akan membuatkan peluang Nazmi semakin terhad.
Kehadiran Brendan Gan akan menyekat peluang Nazmi Faiz bersama skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Bagi skuad Sang Penyu, kehilangan Habib Haroon dijangka tidak akan membuka ruang besar buat pemain baharu kerana terdapat lambakan ubi muda dalam akademi kelab.
Oleh itu, destinasi terbaik buat Nazmi ialah Sri Pahang FC yang sudah melepaskan beberapa tonggak pasukan, termasuk yang beraksi di posisi tengah.
Kevin Ingreso dan Zuhair Aizat merupakan antara nama yang tidak disambung kontraknya, sekali gus membuka ruang buat Nazmi diserap ke dalam kesebelasan utama.
2. Hubungan baik Sri Pahang dan JDT
Musim lalu, skuad kendalian Fandi Ahmad itu menggunakan khidmat empat pemain, iaitu Fadhli Shas, Izham Tarmizi, Syazwan Andik serta Azrif Nasrulhaq yang beraksi bersama JDT pada 2022.
Kehadiran mereka membuktikan bahawa kedua-dua pasukan itu mempunyai hubungan cukup baik apabila skuad Harimau Selatan terbuka untuk berkongsi pengalaman mereka.
Jadi, sekiranya Nazmi mahu mengekalkan hubungan baiknya bersama juara Liga Super itu, pilihan terbaik buatnya adalah dengan menyertai skuad Tok Gajah.
Fadhli (kiri) dan Azrif (tengah) hadir dari JDT awal musim lepas. — Facebook/Sri Pahang FC
Selain itu, sekiranya dia memilih untuk menyertai kelab Pantai Timur tersebut, Nazmi dapat menetapkan syarat perjanjian, termasuk minit permainan dimahukannya.
Bagaimanapun, sekiranya bekas pemain Beira Mar itu berkeras untuk mengembangkan kariernya bersama kelab lain, terdapat kemungkinan dia tidak lagi mempunyai hubungan istimewa dengan JDT.
Tetapi, pemain itu seakan-akan bersedia dengan situasi terbabit apabila beberapa hantarannya kebelakangan ini seakan-akan sengaja mengeruhkan keadaannya bersama kelab terbabit.
3. Tiada tekanan hebat
Seperti dikatakan di atas, Selangor FC pastinya berhasrat mendapatkan Nazmi Faiz kerana mereka akan bersaing di pentas Asia dalam edisi akan datang.
Perkara berkenaan pasti akan memberi tekanan hebat kepada perancang tengah berkenaan kerana penghijrahannya lebih didorong keinginannya untuk beraksi dengan kerap.
Jadi, ia dikhuatiri mengganggu persembahannya di atas padang sehingga mencalarkan reputasinya dalam kalangan penyokong, sekali gus menyaksikannya kembali tersisih.
Terengganu FC dan Selangor FC mempunyai misi cukup hebat musim depan. — Facebook/Selangor FC
Malah, situasi itu juga dijangka berlaku sekiranya dia menyertai skuad kendalian Tomislav Steinbruckner yang kini adalah salah sebuah pasukan digeruni.
Perkara tersebut tidaklah bermakna reputasi serta kebolehan Sri Pahang FC yang menamatkan kempen Liga Super 2023 di tangga kelima selain beraksi dengan baik dalam Piala FA dan Piala Malaysia.
Namun, realiti di sebalik pasukan yang tidak merebut slot ke AFC saban musim itu memberi satu kelegaan dan ruang buat Nazmi kembali menemui rentaknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram