[VIDEO] Liga amatur di Rawang buat hal lagi, gaduh hingga pelangkung kepala pemain guna helmet


  • Podium
  • Sabtu, 06 Jan 2024

Tangkap layar video pergaduhan pemain liga amatur berkenaan.

SEJAUH manapun industri bola sepak tanah air semakin berkembang, sikap pergaduhan murahan masih mengotorkan suasana sukan nombor satu tanah air itu.

Awal tahun 2024 pun dibuka dengan isu pergaduhan membabitkan pemain liga amatur yang difahamkan berlaku di Rawang, Selangor.

Berdasarkan video tular berdurasi 30 saat itu memaparkan sekumpulan lelaki lingkuan pertengahan hingga bawah umur bergaduh tanpa kawalan sehingga insiden membaling barang turut disaksikan.

Bayangkan sahaja, ada seorang remaja lelaki yang sepertinya penonton perlawanan tersebut bertindak luar kawalan menggunakan helmet untuk menghempuk kepala pemain.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Friendly game' liga amatur bertukar kecoh di Kopa Arena

Video yang dimuat naik oleh Hal Ehwal Pengadil (HEP) di laman X pada Jumaat itu menerima kritikan keras daripada penyokong bola sepak tanah air.

"Liga bawah umur katanya. Tapi yang bawah umur sedap pelangkung kepala orang guna helmet. Yang tua yang muda semua ikut sekali. Info kata dekat padang di Rawang. Bola sepak tempatan Malaysia is back," kata HEP.

"Banned saja mereka semua daripada mana-mana padang sewa. Takpun denda semua buat kerja sosial," cadang penyokong, FI=ikar Shelby.

"Hahaha main bola dah macam nak pergi perang.. yang ikut pun bapa budak.. kelakar mat," tambah seorang lagi penyokong, Eren.

Dalam pada itu, lima lelaki termasuk remaja berusia 14 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan terbabit.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kejadian yang berlaku pada 8.40 malam itu berpunca daripada perselisihan faham melibatkan pemain dua kelab bola sepak peringkat komuniti.

"Difahamkan ketika perlawanan berlangsung, telah berlaku selisih faham antara kawan pengadu dengan pemain lawan dan pengadu cuba meleraikan pergaduhan itu, namun dia telah diserang oleh beberapa pemain lain.

"Akibat kejadian itu, pengadu telah mengalami sakit di bahagian luka di bahagian hidung, lebam di bahagian belakang badan, leher, muka dan sakit di seluruh bahagian badan sebelum melaporkan kejadian itu ke pihak polis,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Shafa'aton berkata, lima lelaki berkenaan termasuk seorang bapa pemain, berusia antara 14 hingga 39 tahun, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Bagaimanapun, kesemua mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Sebelum ini, sekumpulan lelaki di Kopa Arena, Pulau Pinang melibatkan kedua-dua kelab amatur bergaduh dan bertumbuk sesama sendiri selepas tamat perlawanan persahabatan bola sepak pada Disember tahun lepas.

Difahamkan, pergaduhan itu tercetus akibat salah faham berlaku antara kedua-dua pasukan tersebut selepas tamat perlawanan yang menyaksikan pemain bertindak di luar kawalan ketika kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram