Cipta sejarah jadi pemain termuda Kedah diiktiraf FIFA, Roshidi Shaari terpaksa 'ditidurkan'


  • Podium
  • Selasa, 09 Jan 2024

Roshidi (kanan) bersama Zainal Abidin Hassan ketika beraksi bersama Harimau Malaya.

BEKAS pemain bola sepak kebangsaan dan Kedah FA (kini Kedah Darul Aman FC) pada era 70-an, Roshidi Shaari telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Difahamkan, Roshidi kini berada di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) yang disyaki akibat Leptospirosis itu terpaksa ditidurkan.

Perkara itu dikongsikan oleh legenda Sang Kenari, Mohd Azraai Khor di laman Facebook miliknya pada Selasa.

BACA LAGI: Sebelum JDT, Kedah antara 3 kelab Liga M lebih dulu bertakhta dalam ranking dunia

"Pohon sahabat-sahabat dan penyokong doakan sahabat seperjuangan saya, teammate saya di era 70-an di pasukan Kedah, saudara Roshidi Shaari yang telah ditidurkan di wad ICU Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) disyaki leptospirosis (jangkitan kuman)

"Pernah wakil pasukan kebangsaan dengan rekod pemain termuda dalam arena bola sepak antarabangsa yang diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

WhatsApp Image 2024-01-09 at 15.48.21

Antara fakta menarik mengenai Roshidi ketika menyarung jersi kebangsaan. Facebook/Kedah FA

"Jurulatih Piala Presiden dan Skuad Piala Belia. Pembantu Jurulatih Kedah di bawah Jourgen Larsen. Semoga Allah permudahkan segala urusan perubatan beliau. Aamiin. Biar Jasa Jadi Kenangan," tulisnya di Facebook.

Untuk rekod, ketika berusia 17 tahun, Roshidi sudah mencipta rekod dengan mewakili Malaysia pada kejohanan Pestabola Merdeka 1975.

Digelar 'ayam katik' dan 'lipas kudung' oleh rakan-rakan ketika eranya, Roshidi juga pernah bermain bersama legenda Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Antara pemain lain yang bersamanya dalam skuad Malaysia ketika itu ialah R. Arumugam, Shukor Salleh, Soh Chin Aun, Ong Yu Tiang, Jamal Nasir, Yahaya Jusoh, Muhidin Husin, Siadin Osman dan ramai lagi di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Jalil Che Din pada tahun 1981.

Antara fakta lain yang menarik tentangnya adalah pemain Malaysia pertama yang mampu melakukan 'Didier Kick' iaitu dengan menguis bola yang berada di belakangnya untuk melepasi kepala pemain lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram