[VIDEO] 'Dua menang, satu kalah', lawan Harimau Malaya catat keputusan positif aksi pra Piala Asia 2023


  • Podium
  • Isnin, 08 Jan 2024

Antara pemain-pemain tumpuan dalam Kumpulan E yang akan beraksi menentang Malaysia.

TINGGAL sembilan hari untuk seluruh rakyat Malaysia menyaksikan perlawanan pembukaan Harimau Malaya dalam Kumpulan E menentang Jordan di Stadium Al-Janoub pada 16 Januari nanti.

Selain Jordan, Malaysia turut diundi dengan gergasi Asia, Korea Selatan serta Bahrain dalam misi untuk mendapatkan tempat kedua terbaik dalam Kumpulan E bagi layak ke pusingan ke-16.

Namun apakah yang menyedihkan buat kem kebangsaan apabila hanya sempat melakukan satu perlawanan persahabatan menentang Syria pada Isnin.

Ini kerana pasukan Arab Saudi mengubah perancangan mereka di saat-saat akhir selepas ketua jurulatih mereka, Roberto Mancini menjangkakan Harimau Malaya akan melepasi pusingan ke-16 sebagai naib juara kumpulan.

Dengan itu, Malaysia menjadi satu-satunya pasukan dalam Kumpulan E yang hanya beraksi satu perlawanan persahabatan sekali gus tidak dapat menguji kekuatan Harimau Malaya secara menyeluruh sebelum aksi menentang Jordan.

Ketiga-tiga lawan Malaysia itu sudah pun beraksi dalam perlawanan persahabatan pertama yang menyaksikan dua pasukan mencatat keputusan positif manakala satu lagi tewas.

1. Iraq 0-1 Korea Selatan

Juara dua kali Piala Asia, Korea Selatan menyimpan 'kuku' apabila tidak memulakan perlawanan menentang Iraq dengan barisan terkuat yang menyaksikan mereka menang dalam aksi persahabatan itu.

Pengendali Korea Selatan, Jurgen Klinsmann menukar taktikal permainan dengan memasukkan bintang-bintang Eropah seperti Kim Min-jae (Bayern Munich), Son Heung-min (Tottenham Hotspurs) dan Lee Kang-in (Paris Saint-Germain) yang menyaksikan mereka mengawal tempo permainan sebanyak 58 peratus (%).

Pemain tumpuan bagi pasukan Korea Selatan ialah Son Heung-min yang menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2021/22 dengan 23 gol bersama-sama Mohamed Salah.

Yazan Al-Arab

Yazan (kanan) menjadi tonggak utama benteng pertahanan Jordan.

2. Qatar 1-2 Jordan

Skuad bimbingan Hussein Ammouta melakukan kejutan apabila berjaya menewaskan pasukan yang berada di ranking ke-58 dunia, Qatar dengan keputusan 2-1 di Stadium Al-Gharafah pada Sabtu.

Jordan yang menurunkan duo pemain Selangor FC, Yazan Al-Arab dan Noor Al-Rawabdeh berjaya membantu Jordan melakarkan kemenangan buat pasukan mereka.

Bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) turut diberi kepercayaan oleh Hussein untuk memulakan perlawanan menentang Qatar.

Walaupun Qatar menurunkan dua pemain naturalisasi mereka di bentang pertahanan, ia tidak dapat menghalang penyerang Jordan, Yazan Al-Naimat dan Ali Olwan menjaringkan gol pada perlawanan itu.

Pemain tumpuan skuad kebangsaan Jordan ialah Mousa Al-Tamari yang kini sedang beraksi bersama kelab Perancis, Montpellier HSC dan sudah pun menjaringkan tiga gol dan tiga assist dalam 16 perlawanan bersama pasukan itu.

Sejak 2018, Al-Tamari sudah berkelana ke Eropah dengan beraksi bersama APOEL Nicosia di Liga Cyprus dan OH Leuven di Liga Belgium sebelum berpindah ke Perancis Julai 2023.

3. Bahrain 0-2 Australia

Bahrain memulakan praperlawanan Piala Asia dengan langkah kiri selepas tewas di tangan pasukan Australia yang berada di ranking ke-25 dunia pada Sabtu.

Bahrain yang beraksi di gelanggang sendiri tewas dengan gol sendiri pemain pertahanan, Amine Mohamad Hassan dan jaringan oleh penyerang kelab Jepun, Machida Zelvia iaitu Mitchell Duke.

Namun kekalahan Bahrain itu tidak boleh dipandang rendah oleh anak-anak buah Pan-gon kerana ia merupakan perlawanan pemanas badan sebelum aksi sebenar bermula pada minggu depan.

Pemain tumpuan Bahrain ialah Ali Madan yang beraksi di posisi sayap kanan yang mempunyai skil individu tinggi untuk mengucar-ngacirkan pertahanan pihak lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram