Bukan sahaja Khuzaimi, bintang JDT, KL City jadi sebutan ramai bakal ke Kedah


  • Podium
  • Ahad, 07 Jan 2024

Khuzaimi Piee (bip merah) antara menjadi sebutan bakal menabur bakti di kem Sang Kenari musim depan. — Facebook/FAM

KANCAH bola sepak tanah air pastinya kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar sebagai tanda sokongan kepada skuad kebangsaan.

Skuad kendalian Kim Pan-gon akan beradu tenaga dalam aksi pemanas badan berdepan Syria pada 8 Januari sebelum perlawanan pembukaan Kumpulan E menentang Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

Bagaimanapun, dalam persediaan menjelang perlawanan Liga Malaysia (Liga M) pada April nanti, beberapa pasukan di tanah air giat melakukan proses pengambilan atau merekrut pemain baharu.

WhatsApp Image 2024-01-07 at 19.32.16

Safawi (kanan) antara pemain Harimau Malaya yang dikhabar bakal berhijrah ke KDA FC musim depan. — Facebook/FAM

Selain pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) yang dilihat giat membawa masuk pemain baharu dalam skuad tersebut, Kedah Darul Aman (KDA) FC turut tidak mahu ketinggalan mahu membawa masuk beberapa pemain dalam pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Presiden FAM gesa pengadil Malaysia tampil prestasi terbaik di Doha

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali mengesahkan sudah mempunyai senarai pemain impian yang bakal dibawa ke kem Kedah pada musim depan namun sehingga kini wajah baharu tersebut masih belum boleh dikongsikan.

Berikutan perkembangan tersebut, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa pemain Harimau Malaya antara yang bakal dibawa masuk ke kem Sang Kenari musim depan.

Difahamkan, pemain skuad kebangsaan tersebut bakal menandatangani kontrak bersama KDA FC musim depan selepas saingan Piala Asia berakhir.

Dalam pada itu, pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee dan pemain sayap Harimau Selatan, Safawi Rasid antara nama yang disebut-sebut bakal menabur bakti di bumi Jelapang Padi di samping rakan sepasukannya, Akhyar Rashid.

Safawi dan Akhyar pada masa sama turut dikhabarkan ke Terengganu FC menjadi 'rebutan' kerana dianggap masih mampu memberi kejutan dalam aksi mereka.

Bukan itu sahaja, bekas penjaga gol KDA FC, Azri Ghani turut dikhabarkan bakal kembali beraksi bersama skuad kendalian Nafuzi Zain itu.

Selepas prestasi yang baik dipamerkan oleh Azri ketika bersama Perak FC musim 2020, Azri membuat keputusan untuk mencari angin baru dalam karier dengan menyertai pasukan Kuala Lumpur City FC pada musim 2022.

Bagaimanapun, menerusi perkembangan lain, pemerhati sukan, T. Avineshwaran mendedahkan bahawa KDA FC akan mengekalkan ketiga-tiga penjaga gol mereka iaitu Kalamullah Al-Hafiz, Ifwat Akmal Chek Kassim dan Fikri Che Soh musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram