Bakal sertai Sri Pahang FC, tonggak tengah Penang FC ucap selamat tinggal


  • Podium
  • Isnin, 08 Jan 2024

Musim ini, Penang FC menduduki tangga ke-10 Liga Super.

TONGGAK tengah Penang FC, Asnan Ahmad atau diberi jolokan nama, 'Cikgu Nan' sah meninggalkan pasukan Harimau Kumbang untuk musim 2024/2025.

Menurut perkongsian pemerhati bola sepak, Fadhirul Shuhaimi dalam laman sosial X, memuat naik ciapan Sri Pahang FC bakal menjadi destinasi seterusnya buat bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu, lapor Stadium Astro.

BACA LAGI: [VIDEO] Bintang JDT tersenarai antara pemain pertahanan tumpuan Piala Asia 2023

Asnan yang berkhidmat bersama Penang selama semusim itu mempunyai 35 penampilan dalam semua kejohanan termasuk berjaya merekodkan satu bantuan jaringan dalam saingan Piala FA.

Pemain berusia 30 tahun itu memulakan kariernya bersama skuad muda Kedah sebelum menyertai UKM FC pada 2013 untuk menyambung pelajarannya di universiti itu.

Cemerlang bersama UKM FC, Asnan berjaya membuka mata ramai pihak untuk mendapatkan khidmatnya selepas pasukan itu menarik diri daripada Liga Malaysia (Liga M) susulan masalah permohonan penswastaan kelab bola sepak secara swasta.

Asnan Ahmad

Asnan dikhabarkan akan menyertai Sri Pahang FC musim depan.

Disebabkan itu, Asnan dipancing oleh Terengganu FC (TFC) pada 2020 sebelum kembali ke negeri kelahiran Kedah semusim selepas tidak mendapat tempat bersama Sang Penyu.

Bersama Kedah Asnan tampil dalam 11 perlawanan termasuk Piala AFC namun masih gagal mengulangi kecemerlangan beraksi dengan UKM FC.

Pada musim 2022, Asnan menyertai seteru utama KDA FC iaitu Penang FC dan mula mendapat kepercayaan beberapa jurulatih untuk turun beraksi sebagai kesebelasan utama ataupun bermula daripada bangku simpanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram