Sebelum JDT, Kedah antara 3 kelab Liga M lebih dulu bertakhta dalam ranking dunia


  • Podium
  • Rabu, 27 Dis 2023

JDT mencatatkan sejarah tersendiri apabila mengumpul kesemua empat trofi di peringkat domestik untuk dua musim berturut-turut.

REPUTASI Johor Darul Takzim (JDT) sebagai pasukan terbaik dalam negara sememangnya tidak boleh disangkal selepas mereka menjuarai empat kejohanan domestik semusim untuk dua tahun berturut-turut.

Prestasi skuad Harimau Selatan di pentas Asia juga sukar disangkal apabila mereka menamatkan saingan Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) di tangga ketiga.

Meskipun gagal menempah slot ke peringkat kalah mati, pasukan Selatan tanah air itu memberikan tentangan cukup hebat dengan jurulatih lawan sering memberikan pujian terhadap mereka.

Pencapaian itu menyaksikan JDT semakin dikenali di mata dunia dengan skuad kendalian Esteban Solari kini terus mendaki kedudukan sebagai salah sebuah pasukan terbaik di Asia.

Berdasarkan info dikeluarkan Persekutuan Sejarah dan Statistik Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS), skuad Harimau Selatan merupakan pasukan ke-15 terbaik dalam benua dan ke-250 di peringkat global.

GCHcTMxWsAAPQ1u

Kemegahan JDT di peringkat domestik dan Asia turut diakui FIFA baru-baru ini. Twitter/FIFA

Tidak cukup dengan itu, FIFA baru-baru ini turut memberi gambaran bahawa JDT berpeluang menyertai Piala Dunia Kelab 2025 apabila mereka berada di kedudukan ke-11 AFC.

Jadi, kedudukan tersebut pastinya memberi gambaran bahawa mereka merupakan antara pasukan tempatan terbaik yang pernah disaksikan di mata dunia.

Bagaimanapun, sekiranya kita melihat sejarah lalu, beberapa kelab Liga Super yang lain juga pernah diiktiraf dengan kedudukan cukup baik dalam carta IFFHS.

Meskipun ia hanyalah satu sejarah bagi penyokong, pencapaian menempa nama di mata dunia cukup untuk menceritakan bahawa mutu liga tempatan tidak boleh dipandang rendah.

Berdasarkan pencapaian lalu, berikut merupakan tiga kelab yang pernah berada di ranking baik sehingga mengatasi kelab megah di luar negara.

1. Kedah FA

Sebelum kehadiran JDT, Kedah FA pernah muncul sebagai pasukan terbaik tanah air dengan meraih gelaran 'treble' buat dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Meskipun pencapaian mereka di pentas Asia tidak begitu megah, keunggulan mereka di peringkat domestik masih cukup untuk mengharumkan nama negara.

Berdasarkan carta dikeluarkan IFFHS pada 2007, skuad Sang Kenari pernah berada di tangga ke-111 dunia dengan ia merupakan kedudukan terbaik pernah diraih kelab tempatan.

1922695

Skuad Sang Kenari pernah berada di kedudukan ke-111 dunia berdasarkan statistik dikeluarkan IFFHS. Facebook/Kedah FA

Pasukan yang ketika itu dikendalikan Azraai Khor Abdullah cukup digeruni dengan pemain berkualiti serta taktikal sukar dibendung dalam setiap perlawanan.

Kedudukan tersebut menyaksikan Kedah FA berada di tangga lebih baik berbanding pasukan ternama, termasuk Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester City.

Sejak itu, skuad Sang Kenari sudah tidak lagi berjaya meletakkan diri mereka dalam kalangan 500 kelab terbaik dalam dunia.

Bagaimanapun, kenangan mencipta nama sebagai salah sebuah pasukan Liga Super terbaik pastinya sukar dilupakan dan tidak boleh dipadam dalam lipatan sejarah bola sepak tanah air.

2. Kelantan FA

Musim ini, Kelantan FA muncul sebagai antara pasukan tercorot dalam arena bola sepak tempatan setelah dibolosi kira-kira 140 kali secara keseluruhan.

Bagaimanapun, kira-kira 10 tahun lalu, kelab Pantai Timur itu pernah mencipta nama dengan meraih gelaran treble setelah menjuarai Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

Pencapaian membanggakan itu diteruskan pada musim berikutnya apabila skuad The Red Warriors (TRW) mencatatkan kemaraan ke peringkat kalah mati.

2372309

Kenangan skuad TRW yang meraih gelaran treble pada 2012 sukar dilupakan.

Prestasi terbabit membolehkan Kelantan FA muncul sebagai salah sebuah pasukan terbaik di rantau Asia selain merebut slot dalam carta IFFHS.

Berdasarkan carta dikeluarkan persatuan itu pada 2012, pasukan yang ketika itu dikendalikan Bojan Hodak berada di tangga ke-139 dunia dan teratas dalam kalangan kelab Asia Tenggara.

Kedudukan terbabit menyaksikan skuad TRW berada di tangga lebih baik berbanding pasukan Jepun, Nagoya Grampus Eight dan Thailand, Chonburi FC.

Dalam kalangan kelab Asia pula, pencapaian menakjubkan Kelantan FA menyaksikan mereka berada di tangga ke-13 dengan hanya satu mata membezakan mereka berbanding pasukan Emiriah Arab Bersatu, Al-Ahli.

3. Perak FA

Setelah setahun beraksi dalam liga bawahan, Perak FC akhirnya kembali mewarnai divisyen teratas bola sepak tanah air meskipun hanya berada di tangga kesembilan Liga Perdana musim lalu.

Bagaimanapun, harapan ramai untuk menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) bersaing dengan cemerlang masih tidak kesampaian apabila pasukan terbabit bergelut pada awal musim.

Tetapi, sekiranya masa diberikan kepada pihak pengurusan, tiada penghalang besar akan dihadapi kelab tersebut untuk bergelar antara pasukan paling digeruni.

IMG_20140221_0016

Pelbagai kejayaan pernah dikecapi skuad TBG antara 2000 sehingga 2010.

Hal itu turut diakui IFFHS yang meletakkan pasukan berkenaan sebagai sebagai salah sebuah pasukan terbaik negara dari tahun 2001 sehingga 2010.

Dalam statistik dikeluarkan pada 2018 itu, skuad TBG berada di tangga ke-650 dunia dalam kalangan 1,000 pasukan yang diberikan perhatian.

Antara kelab tempatan lain yang turut berada dalam carta berkenaan ialah Selangor FA (708), Perlis FA (793), Kedah FA (864) dan Negeri Sembilan FA (945).

Kedudukan Perak FA itu menyaksikan mereka berada di tangga lebih baik berbanding kelab ternama, termasuk New York Red Bulls di Amerika Syarikat serta SC Freiburg dari Jerman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram