[VIDEO] 'Dia lipat cheq oi', aksi sepakan gunting Sanusi buat fans JDT 'makan hati'


  • Podium
  • Isnin, 04 Dis 2023

Sanusi (kanan) dikenali sebagai ahli politik yang gemarkan bola sepak. — Facebook/Urusetia Penerangan Darul Aman

BENARLAH kata orang, sukan itu untuk semua. Tidak terhad kepada ahli sukan semata-mata, sukan boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja baik rakyat marhaen atau orang kenamaan.

Di Malaysia, terdapat beberapa orang kenamaan yang begitu dikenali dengan kegilaan mereka terhadap sukan lebih-lebih lagi dalam bola sepak. Mereka secara meminati sukan tersebut malah ada yang melibatkan diri secara langsung.

Sebagai contoh, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor adalah salah seorang figura dikenali ramai yang begitu meminati bola sepak.

Dia yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memang dikenali dengan kegilaannya terhadap bola sepak. Malah, Sanusi juga pernah terlibat dengan ‘konflik’ bersama-sama pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana lantang bersuara membabitkan hal-hal bola sepak tempatan.

406467838_856746149787211_2877106935306586588_n

Sanusi (kanan) melakukan tendangan gunting dalam perlawanan persahabatan di Kedah. — Facebook/Urusetia Penerangan Darul Aman

Kegilaan Sanusi terhadap bola sepak bukan setakat cinta kepada sukan tersebut, malah dia juga begitu aktif bermain jika terdapat masa lapang walaupun jadualnya sebagai menteri besar adalah padat.

Sebelum ini, telah tular beberapa rakaman Sanusi bermain bola dengan begitu hebat seperti melakukan gerakan nutmeg kepada pemain lawan serta menghasilkan rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti.

Kini, muncul satu lagi rakaman menunjukkan Sanusi melakukan aksi sepakan gunting dalam satu perlawanan persahabatan melibatkan KCS FC menentang GCrew di Stadium Suka Menanti, Kedah.

Apa yang menariknya dalam perlawanan itu, aksi sepakan gunting yang dilakukan Sanusi itu tercipta hasil usahanya sendiri.

Dia yang menerima bola hasil hantaran pendek rakan sepasukan, menyungkitnya sebelum melakukan tindakan akrobatik dalam usaha mencari gol.

Lebih menarik, gerakan akrobatik tersebut dilakukan ketika perlawanan sedang diadakan pada waktu hujan. Ia adalah satu usaha yang hebat memandangkan Sanusi bukanlah seorang pemain bola sepak profesional.

"Dia punya action (sepakan gunting) tu macam Baddrol Baktiar punya stail pun ada. Ni kalau fans JDT tengok ni, mesti makan hati," tulis seorang penyokong, Alhad Danniel.

Namun begitu, hasil daripada usaha tersebut tidak dapat dipastikan sama ada ia menghasilkan gol atau tidak. Namun begitu, Sanusi telah membuktikan dia adalah salah seorang orang kenamaan di Malaysia yang sememangnya cintakan bola sepak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram