Khamal Idris sahkan Kedah dah ada senarai 'dream team', bakal penaja


  • Podium
  • Sabtu, 06 Jan 2024

Habib dan Sony dikaitkan akan ke Kedah untuk saingan musim depan. — Facebook/TFC

MUSIM 2023 Liga Malaysia (Liga M) Kedah Darul Aman (KDA) FC berakhir dengan peningkatan dari tahun sebelumnya apabila skuad Hijau Kuning menghuni kedudukan keempat dengan menghuni 53 mata.

Walaupun Kedah musim ini gagal mendapat sebarang trofi baik Piala Malaysia mahupun Piala FA, prestasi pasukan kendalian Nafuzi Zain bagaimanapun wajar untuk menerima pujian terutamanya apabila musim 2023 tampil dengan rombakan besar-besaran.

Di sebalik prestasi memberangsangkan, KDA FC juga tidak terlepas dari isu dalaman apabila sebelum ini pemiliknya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan pasukan itu berhadapan masalah kewangan yang menyebabkan bayaran gaji pemain dan kakitangan tertunggak.

Isu tersebut bagaimanapun tidaklah seteruk yang didakwa penyokong pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu dan difahamkan akan diselesaikan mengikut tempoh masa yang ditetapkan oleh lembaga pengarah kelab.

Perkara berkenaan disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali yang menyatakan pihak pengurusan mempunyai jalan keluar untuk menyelesaikan perkara tersebut.

kedah isi

Kedah musim ini menamatkan saingan Liga Super di kedudukan keempat liga. — Facebook/KDAFC

Isu gaji tersebut juga tidak memberi kesan kepada pihak pengurusan daripada mencari penaja bagi musim 2024 untuk meneruskan kelangsungan kelab bagi perjalanan saingan domestik.

"Saya rasa kami dah bersedia dan insya-ALLAH benda boleh selesai. Yang penting jalan penyelesaian yang diambil. Kita ada letak time frame, ini tindakan lembaga pengarah yang buat ketetapan. Lembaga pengarah dah berbincang selesaikan Januari.

"Penajaan dah ada untuk musim 2024 tapi belum finalised lagi perkara itu. Tapi yang berminat dah ada," katanya kepada Majoriti.

Dalam perkembangan berbeza, Khamal Idris juga mengesahkan sudah mempunyai senarai pemain impian yang bakal dibawa ke kem Kedah pada musim depan namun sehingga kini wajah baharu tersebut masih belum boleh dikongsikan.

"Pemain baharu dah ada cuma kita tak boleh nak reveal. Sebab tak sign lagi cuma persetujuan dah ada. Bila bagi petunjuk akan jadi perebutan kelab lain pula," jelasnya.

Musim ini, Kedah dikaitkan dengan pelbagai nama besar seperti bekas tonggak Terengganu FC (TFC) Sony Norde dan Habib Haroon. Selain difahamkan turut mencari pengganti penyerang Ifedayo Olesogun yang difahamkan tidak lagi disambung kontrak lanjutan bersama KDA FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram