SEBUAH pasukan akan lengkap jika mempunyai skuad depth yang baik kerana dari situ pengendali kelab akan mempunyai pilihan untuk menurunkan kesebelasahan utama.
Dengan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang sudah melabuhkan tirainya pada Disember lalu, kini adalah masanya untuk para kelab Liga Super memantau para pemain untuk mengukuhkan skuad depth masing-masing.
Salah satu elemen yang akan dititikberatkan oleh pasukan ialah keperluan untuk mencari penyerang berbisa bagi membantu kelab meraih mata bagi setiap perlawanan.
Namun, kelab sedia maklum harga untuk memiliki pemain yang mempunyai reputasi sebagai penyerang prolifik pastinya berada di luar kemampuan masing-masing.
Oleh itu, salah satu cara untuk mencari penyerang berkualiti tetapi dengan harga yang berpatutan adalah dengan mencari pemain berstatus ejen bebas.
Harga yang berpatutan di sini adalah bermaksud, kelab tidak usah mengeluarkan wang lebih untuk membayar wang perpindahan gara-gara untuk membawa masuk seorang penyerang.
Justeru itu, melihat kepada pasaran terkini, terdapat tiga penyerang yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan boleh dipantau kelab Liga Super musim depan;
BACA LAGI: Ketua pasukan, bintang naturalisasi dan penyerang Thailand antara 12 pemain dilepaskan TFC
1) Jordan Mintah
Mintah sudah bersama Terengganu sejak musim 2020. — Facebook/TFC
Lima musim beraksi dengan beberapa kelab berbeza, penyerang Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah antara enam tonggak import yang digugurkan pihak pengurusan susulan langkah penjimatan perbelanjaan skuad Sang Penyu untuk musim depan.
Meskipun berada tidak berada dalam perancangan TFC, ia tidak membawa maksud Mintah adalah seorang pemain yang tidak memberikan sumbangan untuk kelab.
Jika diimbau semula, Mintah mendapat kepercayaan Tomislav Steinbruckner untuk beraksi sebagai penyerang utama dengan dia sempat mencetak lima jaringan gol di awal musim.
Namun pemain itu diturunkan semula ke skuad simpanan Terengganu selepas pemain berusia 28 tahun itu didakwa terpalit dengan masalah disiplin.
Usianya yang masih muda boleh menjadi satu kelebihan untuk pasukan yang menginginkannya dengan Mintah boleh ditawarkan satu kontrak jangka masa panjang.
Pasukan seperti Perak FC boleh membawanya masuk bagi menggantikan Luka Milnovic yang sebelum ini Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkongsi ingin mengugurkannya susulan prestasi mengecewakan.
BACA LAGI: Perak tak belajar dari kesilapan, kehilangan Hakimi Isa seperti kisah bekas permata TBG
2) Heberty Fernandes
Tempoh pinjaman Heberty bersama JDT difahamkan sudah berakhir. — Facebook/JDT
Berdasarkan laman Transfrmarket, Heberty Fernandes kini difahamkan berstatus ejen bebas susulan tempoh pinjamannya bersama Johor Darul Takzim (JDT) sudah tamat pada Disember lalu.
Penyerang berusia 34 tahun itu cukup dikenali di rantau Asia Tenggara kerana hadir dengan reputasi sebagai penjaring terbanyak Liga Thailand pada musim 2014 selepas meledak 26 gol ketika mewakili Ratchaburi Miltr Phol.
Heberty pernah membantu kelab gergasi Thailand, Muangthong United menjuarai Piala Liga Thai dan Kejuaraan Mekong pada saingan musim 2017.
Heberty juga tidak menjadikan Harimau Selatan sekadar 'rumah singgah' apabila memberi seluruh jiwa raganya di bahagian serangan JDT dengan merekodkan 11 jaringan dalam semua kejohanan disertai juara Liga Super itu.
Dengan resume kukuh dan pengalaman luas seperti itu, pasti banyak kelab berebut untuk mendapatkan khidmatnya bagi menambah sengat di bahagian serangan pasukan.
Melihat kepada tinjauan di media sosial, penyokong Selangor FC antara yang menginginkan kepakarannya selepas Gergasi Merah difahamkan bakal kehilangan Ayron del Valle.
3) Hakimi Mat Isa
Hakimi merupakan prospek Perak FC. — Facebook/Perak
Ubi muda Perak FC, Hakimi Mat Isa sesuai untuk diletakkan dalam senarai ini kerana dia mampu menjadi pemain sandaran kelab lain sekiranya memerlukan watak penyerang kedua yang berkebolehan.
Sebelum ini, skuad The Bos Gaurus (TBG) mengecewakan penyokongnya apabila memutuskan untuk melepaskan prospek muda itu bagi saingan musim depan.
Hakimi merupakan seorang penyerang yang laju, memiliki penguasaan bola yang baik, tenang di hadapan gawang gol dan mempunyai penyudah.
Dengan usianya yang baru berusia 23 tahun itu, adalah tidak mustahil jika pemain muda itu akan dipandang oleh kelab seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Pemain yang bermula dengan skuad simpanan Perak itu mula menonjol apabila Hakimi berjaya menjaringkan gol pada minit-minit akhir dalam saingan Piala Malaysia sekali gus memberikan kelebihan buat The Bos Gaurus untuk mara ke pusingan seterusnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram